15 Oktober 2009
Hadiah Nobel Keamanan 2009 : Dr. Mahathir Lebih Layak Daripada Obama
Umum sudah mengetahui, Presiden Amerika Syarikat iaitu Barack 'Hussein' Obama telah dipilih untuk memenangi Nobel Prize 2009 bersama wang tunai berjumlah hampir USD 1.2 billion.
Menjadi sedikit kontroversi dimana salah seorang daripada 5 juri menyatakan bahawa Presiden kulit hitam pertama US itu tidak gembira apabila diumumkan sebagai pemenang. Manakala seorang juri lain menafikan perkara tersebut. Obama adalah calon akhir selain Presiden Perancis Nikolas Sarkozy.
Bagi pendapat saya penduduk dunia ke-3, pemilihan Obama dan Sarkozy sebagai calon akhir adalah tidak tepat kerana menampakkan ia hanya mengiktiraf pemimpin di Barat sahaja dan tidak melihat pemimpin dunia ke-3 yang mewakili hampir 70% populasi penduduk dunia sebagai calon ideal memenangi anugerah berprestij itu.
Memang tidak dinafikan sebelum ini memang ada rekod pemimpin dunia ke-3 seperti Yasser Arafat dan Nelson Mandela pernah memenangi tetapi pemilihan kali ini dilihat aneh.
Aneh apabila pengerusi jawatankuasa Nobel, Thorbjorn Jagland menyatakan pemilihan Obama adalah atas usahanya memulihkan hubungan Barat dan Dunia Islam serta peranannya dalam membatalkan penempatan peluru berpandu di Poland dan ahli-ahli baru NATO bekas Kesatuan Soviet seperti Georgia.
Kenapa isu penangguhan penutupan Teluk Guatanamo dan penghantaran baru 13,000 tentera ke Afghanistan dalam Perang Keatas Pengganas tidak dijadikan salah satu penilaian mereka?
Alasan usaha Obama untuk memulihkan hubungan Barat dan Dunia Islam juga adalah berdasarkan cakap-cakap beliau di depan rostrum dan lensa kamera sahaja. Implementasinya masih tidak jelas. Dengan isu pencerobohan di Iraq dan pengeboman di sempadan Pakistan menjadikan ia lebih sebagai pemanis mulut sahaja.
Pencalonan Sarkozy yang ada kontroversi dengan teman wanitanya juga tidak melayakkan beliau dikenang sebagai pejuang keamanan sejagat. Selepas era Presiden Jaquec Chirac, Perancis telah hilang sifat realistiknya dan ekslusifnya. Jika dahulu sebarang isu dikemukakan oleh US dan Britain di Majlis Keselamatan PBB, Perancis bingkas menyanggah.
Lihatlah isu pencerobohan Iraq 2003, Perancis yang sejak dahulu merupakan sekutu rapat US selepas Perang Dunia Ke-2 tidak langsung campur tangan dan membantu US dan sekutunya menganyang Iraq.
Tetapi hari ini Perancis lebih dilihat sebagai pak turut dan tidak konsisten dalam isu-isu antarabangsanya. Protokol Kyoto dalam isu alam sekitar pun seakan sealiran dengan satu-satunya kuasa besar yang belum menandatanganinya iaitu US. Maka tidak ada satu jasa boleh dilihat yang menyatakan beliau layak menjadi calon Hadiah Nobel Keamanan.
Orang yang paling layak adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad. Saya bukan bercakap atas sikap kefanatikan dan pemuja beliau tetapi lebih kepada usaha-usaha beliau menjadikan perang satu jenayah.
Sebagai penaung pertubuhan NGO antarabangsa iaitu KL Foundation To Criminalise War menjadikan doktrin penentangan beliau kepada perang amat konsisten sejak beliau menjadi Perdana Menteri lagi.
Jika kita membaca tulisan beliau dalam buku 'Dr. Mahathir Selected Letter to World Leader', idea dan konsistensi beliau dalam isu perang amat menakjubkan.
Beliau pernah menulis kepada Presiden Bush selepas Tragedi 911 menyatakan bahawa perang bukan penyelesaian dalam memerangi pengganas. Beliau membawa contoh pendekatan Malaysia dalam memerangi pengganas komunis. Bukan setakat dengan senjata tetapi dengan sentuhan dihati orang ramai untuk tidak membantu komunis dengan pewujudan Kampung Baru, dan perang saraf yang berjaya telah menjadikan pengaruh komunis lemah.
Ini lebih membantu bukan setakat membenteras pengganas komunis tetapi sekaligus dapat menstrukturkan semula masyarakat dengan kewujudan tempat tinggal yang tersusun dan strategik dan membantu proses pembangunan ekonomi. Sekiranya kerajaan hanya menggunakan pendekatan 'Cari dan Hapus', sudah pasti harta negara hanya banyak dihabiskan untuk membeli senjata dan ubat-ubatan sahaja.
Dr. Mahathir menegaskan bahawa sebarang isu pemberontakan dan kemarahan orang Islam terhadap US dan sekutunya adalah disebabkan gagal mencari punca permasalahan tersebut timbul. Dr. Mahathir membawa analogi seorang doktor apabila berhadapan dengan pesakit adalah untuk mengesan punca penyakit tersebut dahulu bukan menghapuskan simptom-simptom penyakit itu.
Punca masalah adalah ketidak puasan hati Dunia Islam atas isu Palestin, Bosnia, Chechya, Iraq, Iran, Sudan dan Libya (ketika itu). Maka kita selesaikan punca masalah tersebut maka selesailah masalah penentangan tersebut.
Pendekatan Dr. Mahathir yang melihat perang bukan penyelesaian masalah adalah kriteria utama untuk menobatkan beliau insan paling layak memenangi Nobel Prize Keamanan tersebut. Selepas bersara pun, Dr. Mahathir masih istiqamah dan konsisten dalam perjuangan menentang peperangan.
Tetapi mungkin pandangan beliau yang telah dicop sebagai anti-Semitisme pada Persidangan OIC 2003 menjadikan beliau tidak layak di mata Barat selaku pemenang Nobel tersebut.
Walaupun Tun. Dr. Mahathir tidak menang tahun ini dan tahun - tahun akan datang, beliau akan terus di kenang sebagai pejuang keamanan bagi negara dunia ke-3. Kerana jasa dan sumbangannya amat besar dalam menjadikan negara dunia ke-3 menjadi ancaman berkesan kepada monopoli Dunia Barat dalam bidang ekonomi, sosial mahupun politik!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan