10 November 2009

Kemelut MCA : Dimana Pengerusi BN?


Krisis MCA sudah semakin meleret. Seakan tidak jumpa titik noktah penyelesaian. Masing - masing ada rasional tersendiri.

Apa yang saya lihat disini, kata - kata orang No.1 MCA tidak lagi dihormati, tidak lagi didengar sama seperti terjadi kepada Tok Guru Presiden Pas, Hadi Awang!

Bagi seorang pemimpin politik sejati, sekiranya tidak ada lagi pengaruh dan cengkaman di dalam suara majoriti akar umbi, maka secara terhormat akan mengundurkan diri. Tetapi tidak bagi Ong Tee Keat ini. Ia melihat kerusi Presiden MCA khusus untuknya kini sehingga sanggup menjilat ludahnya kembali dengan menerima seterunya Chua Soi Lek dan mengkhianati anak buah yang setia Liow Tiong Lai.

Permainan dan polemik yang berterusan ini akan terus melemahkan parti ke-2 paling besar dalam BN ini. Penyelesaiannya kini tidak boleh diharapkan datang daripada MCA tetapi daripada ketua keluarga BN itu sendiri iaitu Pengerusi BN!

Saya pernah menyentuh mengenai peranan penting yang perlu dimainkan oleh Najib selaku Pengerusi BN (bukan Presiden UMNO) dalam menyelesaikan kemelut ini. Nampaknya Dato Hisham (Menteri Amaran dan Nasihat Negara) dan Wee Ka Siong (Tim. Menteri Pelajaran) sudah memohon 'talian hayat' daripada Najib untuk selesaikan segera kes ini.

PM 1Malaysia ini perlu buang terus sikap 'play safe' yang dijadikan pedoman sejak  menceburi politik kepartian ini. Dato' Seri Najib perlu menjadi 'playmaker' dan penggerak utama di dalam mencari titik muktamad sengketa ini.

Saya sangat kecewa apabila mendengar ucapan PM 1Malaysia ini yang menafikan sebarang ideanya dalam pembentukan pelan perpaduan MCA. Dimana letaknya kuasa dan pengaruh Najib selaku Pengerusi BN?

Sikap berkecuali dan tidak masuk campur ini akan memakan diri Barisan Nasional! Kaum Tionghua sedang menilai kembali sokongan mereka sama ada kekal untuk DAP ataupun kembali ke MCA atas kebijaksanaan Najib mengendalikan kerenah parti MCA ini.

Sekiranya Najib bijak mencari penyelesaian, maka undi kaum Cina mungkin akan kembali ke BN tetapi sekiranya Najib gagal, maka akan semakin jauh sokongan kaum ini kepada BN.

Najib selaku Pengerusi BN BERHAK untuk mencampuri urusan MCA. Kunci penyelesaian ada di tangan Najib. Kuasa pemutus keputusan juga berada di dalam genggaman PM 1Malaysia ini. Gunakan sekarang sebelum keadaan lebih mudarat! Tanpa kompromi! Tanpa toleransi! Perlu tegas! Perlu Tangkas!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan