18 Mei 2010

Mentaliti Lin Dan Dalam Kepala Otak Lim Kit Siang !!!

Lin Dan, seorang jaguh yang sukar di kalahkan..dalam perjalanan menuju kepada status lagenda sepanjang zaman dalam arena sukan badminton antarabangsa. Dia tidak perlu menjadi No.1 dunia untuk dikenang sebagai seorang lagenda. Dia tidak perlu menjadi sang juara di semua pertandingan Super Series.

Apa yang penting bagi dia adalah memenangi setiap perlawanan pada kejohanan-kejohanan yang besar bagi membantu negaranya dan meletakkan namanya sebaris dengan lagenda lain. Itu sudah mencukupi bagi dirinya. Piala Thomas yang diadakan setiap dwi-tahunan, Kejohanan Dunia, Sukan Olimpik dan All - England adalah sasaran Lin Dan. Dia sudah memenangi kesemuanya dengan mudah! Tidak perlu menjadi No. 1 dunia untuk mendapat pingat emas Olimpik ataupun menjuarai Piala Thomas!

Dia sangat fokus dalam kariernya. Tahun ini dia sanggup melupakan aksi di All England untuk menumpukan kepada Piala Thomas dan dia berjaya..!

Dia juga sangat hormat kepada lawannya. Tidak pernah dia mengeluarkan kenyataan bongkak dan mendabik dada selepas mengalahkan lawannya. Lihat apa kenyataan dia selepas menewaskan Dato' Lee Chong Wee, ' Beliau (Chong Wee) tidak bermain seperti biasa hari ini, tekanan lebih dirasai oleh beliau berbanding saya, saya dapat bermain dengan baik dan nasib menyebelahi saya.' Inilah karakter sebagai seorang jaguh yang hebat!

Gaya permainannya yang sering berubah - ubah amat sukar dibaca oleh lawannya sehinggakan lawannya terperangkap dan terikut-ikut dengan lenggak lenggok permainannya. Ini resepi kejayaan Lin Dan!



Cara berfikir Lin Dan ini jugalah yang diaplikasikan oleh Lim Kit Siang. Tidak perlu menjadi Ketua Pembangkang walaupun kerusi partinya lebih banyak daripada parti - parti lain. Tidak perlu menjadi juara bagi setiap isu, biarlah parti - parit yang lebih minoriti itu sahaja yang berperang. Biarlah sentiasa menjadi underdog bagi setiap kali pilihanraya kecil. Tetapi matlamat utama mesti dicapai - Kuasa penentu dan pembuat keputusan berada di dalam genggaman dan melakukan kejutan dalam pilihanraya!

Kit Siang tidak tergila-gila dengan jawatan Ketua Pembangkang. Biarlah orang gila bernama Anwar yang memegangnya. Apa yang penting bagi Kit Siang adalah sebarang keputusan politik perlu melalui 'pintunya' dahulu sebelum diputuskan! Dan inilah yang berlaku hari ini. DAP adalah pembuat dan pemutus keputusan, manakala PKR dan Pas sebagai perlaksana keputusan..dalam bahasa pasarnya disebut macai!!

Kit Siang awal-awal lagi sebelum pilihanraya kecil Sibu mendakwa DAP perlukan keajaiban untuk menang dan percaya sukar untuk mereka mengalahkan BN. Manakala BN yang memang suka membuat kempen syok sendirinya mendabik dada boleh menang di Sibu. Tapi apa yang jadi adalah keajaiban berlaku di Sibu, BN telah di aibkan.

Kit Siang juga seperti Lin Dan suka menukar strategi dan 'game' politik beliau. Sebarang isu yang diketengahkan pasti akan dijawab oleh BN walaupun isu itu sebenarnya bertaraf sampah! Kit Siang mengajak lawan politiknya bermain mengikut gerak langkahnya sehinggakan satu tahap lawannya tersebut terperangkap dengan 'smash' tajam yang datang tiba-tiba dek kerana leka mengikut caranya bermain!

Lin Dan bukanlah seorang superhero yang mustahil dikalahkan. Dia juga ada kelemahan. Penguasaan gelanggang dan mengawal permainan boleh menyebabkan emosi dan gaya permainan Lin Dan terganggu. Lin Dan bukanlah seorang yang boleh diajak bermain 'rally'. Dia perlu dipaksa bekerja keras bertahan dengan 'smash' yang tajam dan tidak memberi bola tanggung kepadanya. Letakkan dia diposisi bertahan bukannya menyerang!

Kit Siang juga boleh dikalahkan dengan kaedah yang sama. Setiap isu negara perlu dikuasai dan dikawal oleh lawannya. Hujah yang kukuh dan fakta yang ampuh bisa menutup peluang dan ruang untuk Kit Siang menjuarai isu tersebut. Letakkan Kit Siang diposisi defensif dimana dia akan diserang bertubi-tubi dengan pelbagai isu yang melingkari dia dan partinya dan bukannya seperti sekarang, lawan Kit Siang setiap masa memberi bola tanggung untuk dismash!!

Artikel ini bukanlah untuk memuji Lim Kit Siang ataupun merendahkan status Lee Chong Wei tetapi sebagai satu peringatan bahawa kedudukan dan prestij bukanlah tiket untuk menjadi juara sebenar. Apa yang perlu kita belajar daripada dua contoh diatas ialah untuk sentiasa menilai kekuatan lawan disamping sikap 'underdog' dan rendah diri mereka, terselit senjata yang sukar ditangkis bila berhadapan dengan mereka.

Tidak salah belajar daripada kekuatan lawan...bukan..???


17 Mei 2010

Gaya Politik Konvensional BN Perlu Di Tukar!! Hentikan Gula-Gula Politik!!


Benarlah apa yang pernah diungkap oleh Negarawan kita, YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad, 'Apabila kita melupai sejarah dan peristiwa lepas, kita akan dihukum dengan melakukan kesalahan tersebut berulang - ulang kali.'

Mungkin apa yang dimaksudkan oleh YABhg. Tun tersebut merujuk kepada sejarah penjajahan zaman kolonial mahupun zaman perang, tetapi apa yang diucapkan oleh beliau tersebut boleh kita terjemahkan dalam apa yang telah berlaku dalam konteks politik tanah air kini terutama setelah BN kalah mengejut di Sibu semalam (16 Mei 2010).

Nampak gayanya, BN tidak belajar daripada peristiwa yang lalu. Sejak pasca PRU-12 hinggalah semalam, BN tetap melakukan kesalahan yang sama berulang - ulang kali! Tidak pernah serik! Kalau kita cakap dalam bahasa kasarnya, orang yang buat kesalahan berulang kali dikategorikan sebagai bodoh! Ini realiti yang perlu kita akui!

BN masih mengharap dengan ganjaran dan imbuhan yang turun dari langit akan menjanjikan undi untuk mereka. Tetapi amat malang, kaedah ini sebenarnya telah memakan diri! Kaedah konvensional ini telah menampakkan BN mudah dipermain - mainkan!

Di pasar Sibu, riuh rendah dengan laungan 1 Malaysia, PM kita pun tersengih - sengih gembira. Media massa perdana mencanang bagai nak rak, petugas parti dah makin duduk leka..ini yang menyebabkan BN terkesima dan ambil mudah! Sokongan dengan suara tidak mencerminkan apa yang akan diterjemahkan di dalam kertas undi.

Laungan itu hanya memohon perhatian dan imbuhan daripada kerajaan, sokong dalam kertas undi belum tahu lagi! Minta itu dan ini, bila dah dapat, roket juga diundi!

Tiba masanya gaya politik BN perlu ditukar. Ia perlu lebih bercorak keras sekeras desakan dan tuntutan yang bukan -bukan oleh kelompok yang tidak menyokong itu!

Hentikan serta - merta pemberian dan imbuhan semasa pilihanraya kecil. Buat apa merugikan jutaan ringgit kepada golongan yang tidak bersyukur dan berterima kasih ini. Lebih baik dana tersebut di salurkan kepada golongan yang menyokong. Ini dah lah bagi kepada puak yang menentang, golongan yang menyokong dipinggirkan menyebabkan mereka akan berfikir, 'lebih baik aku menentang, nanti kerajaan beri perhatian kepada aku macam puak sebelah sana.'!

Misalnya projek tebatan banjir di Sibu perlu ditangguhkan. Buat apa berbelanja besar sehingga mencapai RM 1billion  di kawasan penentang. Lebih baik dana tersebut di salurkan di rumah - rumah panjang yang menyokong dasar pemerintah. Ini untuk memberi pengajaran kepada mereka. Minta mereka pergi mengadap dengan ahli parlimen baru yang mewar-warkan 'Vote for Change' itu..mintalah bulan & bintang yang dah dijanjikan tersebut!

Cukup-cukuplah BN di perbodohkan sedemikian rupa. Jangan ingat pemberian gula - gula politik boleh membeli undi mereka. Jangan rugikan dengan melaburkan jutaan ringgit kepada puak yang tidak akan menyokong ini. Lebih baik duit tersebut digunakan untuk kepentingan awam yang lebih memerlukan.

Dalam 2 kempen terakhir pilihanraya kecil (di Hulu Selangor dan Sibu), kerajaan telah hampir membelanjakan 500 juta dalam bentuk insentif, imbuhan, ganjaran, geran dan saguhati kepada hanya 150,000 rakyat sahaja dikedua - dua kawasan sedangkan kita masih ada 220 kawasan parlimen lagi dan lebih 26 juta lagi rakyat yang lebih memerlukan!

Walaubagaimanpun, kekalahan di Sibu telah tersurat. Walaupun pedih, ia perlu diterima. Ini merupakan satu lagi episod pengajaran kepada BN terutama selepas kekalahan di Kuala Terengganu dan siri-siri pilihanraya kecil yang lain.

Belajarlah daripada kesilapan yang telah dibuat ini walaupun telah berulang kali melakukan perkara yang sama. Fokus utama adalah pada pilihanraya umum akan datang. Pergilah minta pendapat Tun Dr. Mahathir yang berjaya meraih sokongan puak penentang ini semasa pilihanraya umum 1999. Mungkin ada resepi yang boleh digunakan untuk memenangi semula hati mereka tanpa perlu menjanjikan bulan dan bintang!

Jangan dek kerana laungan 1 Malaysia yang berdegar-degar menyebabkan BN lena diulit 'mimpi basah', kelak nanti basah keluar airmata darah sekalipun, sudah tidak berguna lagi . . .