22 Disember 2009

Tragedi 66 - 63 : Kesilapan Yang Sukar Untuk Dimaafkan..!


Sudah seminggu tragedi di Sidang Dewan Rakyat berlalu. Saya masih merasa kesal dan terkilan dengan sikap dan lagak ahli - ahli Yang Berhormat Barisan Nasional.

Selama seminggu jugalah saya tidak menulis di dalam blog ini kerana perasaan yang sangat geram dan kemarahan yang meluap - luap ekoran kejadian tersebut.

Sikap dan tindakan ahli - ahli Parlimen BN yang tidak hadir (tanpa alasan kukuh) dalam sesi pengundian untuk meluluskan bacaan kali ketiga Belanjawan 2010 tidak boleh dimaafkan.

Lantaklah jika mereka ingin mengugut keluar BN jika dikenakan tindakan kerana sikap acuh tak acuh dan meletakkan kepentingan  diri lebih daripada parti dan negara tidak boleh dikompromi!

Dato' Seri Najib perlu ambil tindakan yang tegas! Alasan mereka tidak dapat hadir pada sesi meluluskan Belanjawan 2010 itu perlu di war-warkan kepada rakyat untuk dinilai sama ada alasan itu munasabah atau tidak.

Dek kerana hilangnya kawalan dan sikap nafsi-nafsi ahli - ahli Parlimen BN ini menyebabkan kemungkinan besar  kerajaan tidak dapat membelanjakan duit bagi suku tahun pertama 2010 sekiranya sesi pengundian untuk belanjawan tersebut berpihak kepada pembangkang.

Terima kasih kepada Nurul Izzah, Azmin Ali, Tan Sri Khalid Ibrahim, Mahfuz Omar, Taib Azamuddin,Lim Guan Eng, Karpal Singh, Teresa Kok, dan 11 lagi Ahli Parlimen pembangkang kerana tidak hadir dalam sesi pengundian tersebut. Sekiranya empat orang daripada mereka yang hadir (terutama Izzah, Azmin, Khalid dan Teresa yang menjadi MP di sekitar Lebah Klang), maka kredibiliti Najib sebagai PM akan tercalar dan akan terpalit dalam sejarah hitam satu - satunya Perdana  Menteri Malaysia yang kalah dalam pengundian pembentangan Bajet !

Chief Parlimen, Nazri Aziz yang bertindak sebagai mata-mata Kerajaan gagal di dalam tugasnya untuk menyediakan korum yang mencukupi di dalam sesi pengundian ini.

Banyaklah cerita yang kita dengar kononnya ahli - ahli Parlimen kerajaan bergegas ke Parlimen ketika tragedi itu berlaku. Perdana Menteri yang sedang menghadiri majlis di Sekolah Cina di Jalan Ipoh terpaksa menangguhkan lebih awal ekoran mendapat signal kecemasan daripada Parlimen. TPM dan beberapa orang menteri, timbalan menteri juga terpaksa menuju ke Parlimen dalam saat - saat yang cukup genting!

Disebalik kegawatan dan kekecohan ekoran Tragedi 66 - 63 ini, terselit hikmah yang sangat bererti buat kepimpinan kerajaan Barisan Nasional. Tragedi ini telah menunjukkan kepada kita sejauh mana semangat pengorbanan dan setianya pemimpin dikerusi empuk Dewan Rakyat pada parti dan kerajaan.

Bekas Tiimbalan Menteri Perlancongann iaitu Dato' Seri Sulaiman Taib yang turut hadir dalam sesi pengundian ini menunjukkan nilai besar dalam diri beliau untuk mengenepikan sentimen diri demi kelansungan kerajaan yang di dukungnya.

Bekas Menteri Kerja Raya yang digugurkan pada rombakan kabinet bulan April lepas iaitu Dato' Seri Ir. Md Zin yang baru tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur sanggup bergegas ke Parlimen tanpa balik ke rumah dahulu semata - mata untuk membantu kem kerajaan yang sangat kritikal ketika itu.

Dato' Abd. Rahman Bakri (Sabak Bernam) yang dimana kes pertuduhan rasuahnya di mahkamah masih dibicarakan, masih gagah melangkah ke Parlimen untuk menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat. Beliau menolak persepsi kononnya tidak payah pergi lagi ke Parlimen kerana 110% kebarangkalian beliau tidak akan menjadi wakil rakyat lagi pada PRU akan datang. Sikap yang wajar kita hormati!

Beberapa nama BESAR yang kemaruk kuasa sejak kebelangkangan ini tidak tersenarai di dalam 66 orang Ahli Parlimen kerajaan ketika itu. Khairy Jamaludin yang sibuk melobi jawatan Timbalan Menteri dan penyokong kuatnya Zahid Hamidi tidak muncul - muncul sehingga tamat sesi pengundian lebih kurang pukul 12 tengah malam.

Ketiga - tiga Naib Presiden UMNO iaitu Hishamuddin, Shafie dan Zahid tidak turut serta ketika itu. Selain Shabery Cheek yang ketika itu di Laos, ketidak hadiran sejumlah besar Menteri dan Timbalan Menteri amatlah dikesalkan. Sekiranya orang No.1 dan No.2 negara boleh tiba di Parlimen pada masa tersebut walaupun ada program yang sedang dihadiri, mengapa tidak mereka?

Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) seramai 40 orang (tidak termasuk Bung Mokhtar Radin) tidak hadir termasuklah ketuanya iaitu Tiong King Sin amat mendukacitakan. Tindakan tegas perlu diambil kepada mereka kerana dek perangai mereka ini menyebabkan kerajaan hampir terjerumus kepada krisis keyakinan rakyat yang memberi kesan besar kepada struktur pentadbiran kerajaan dan survival politik BN!

Maka, terjadinya tragedi ini telah menjadikan penilaian kita kepada wakil rakyat lebih jelas, siapa permata siapa kaca! Siapa mulia, siapa hina! Siapa berkorban, siapa meraban!

Tiada ulasan: