15 Oktober 2009

Perhimpunan Agung UMNO 2009 : Ketua - Ketua Sayap Yang Kayap Idea!


Sayap - sayap UMNO masih jauh daripada landasan perubahan yang dicanangkan sekiranya ucaptama Ketua setiap sayap tersebut di ambil sebagai kayu ukur. Bukan hendak menjadi terlampau skeptikal atas lontaran idea yang dikemukakan oleh mereka tetapi corak pemikiran yang diterjemahkan melalui bait-bait ucapan melihatkan bahawa mereka masih tidak faham apa itu TRANSFORMASI.

Memang tidak dinafikan bahawa harapan dan cabaran yang dicanangkan merupakan mesej untuk perubahan tapi ia hanya mendatangkan sedikit impak dan kesan daripada segi penerimaan rakyat.

Saya agak hairan kenapa perlu Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri apabila berbicara dipentas perhimpunan asyik mengungkit dan menceritakan satira lapok dan permintaan itu dan ini walhal mereka merupakan salah satu kompenan daripada struktur tulang belakang parti pemerintah.

Tidak payah nak menceritakan di atas pentas minta 30% kuota jawatan tinggi diberi kepada wanita (Ucapan Ketua Wanita), jangan tunduk sikap prejudis Indonesia dalam isu pembantu rumah asing (Ketua Puteri) dan memperkasakan wadah belia (Pemuda) kerana kamu merupakan sebahagian daripada kerajaan!

Yang peliknya, isu-isu yang diutarakan oleh Wanita dan Puteri (seperti di atas) seharusnya boleh diambil tindakan oleh wakil mereka di dalam kerajaan misalnya Senator Dato' Maznah Mazlan yang merupakan Timbalan Menteri Sumber Manusia mempunyai autoriti dalam hal berkenaan isu tersebut.

Seperti itu juga dengan Ketua Pemudanya yang petah berbicara, kerja entah kemana! Isu memperkasakan belia bolehlah disyorkan kepada Naibnya yang merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Saya pasti syor itu akan berjaya dengan cemerlang sekiranya Ketua Pemuda sudi laburkan dana atas semangat SETIA-KAT-WANG beliau!

Nampaknya retorik masih membelenggu kotak fikiran pemimpin sayap UMNO. Pendekatan populis terus menjadi inspirasi dalam perucapan umum mereka. Sedangkan mereka lupa, cakap-cakap populis mereka itu sebenarnya menidakkan usaha kerajaan dan memberi peluru untuk pembangkang bersuara.

Iya, memang tidak salah untuk mengkritik kerajaan tetapi anda juga merupakan kerajaan. Cubit peha kanan, peha kiri terasa juga. Lebih baik sayap-sayap ini membentangkan solusi dan pendekatan yang boleh mereka garap untuk bantu usaha kerajaan bukan hanya membuat tuntutan macam-macam semata - mata untuk menjadi jaguh di mata perwakilan dan rakyat.

Pendekatan populis ini merupakan strategi pembangkang sejak dahulu lagi. Maka benarlah pada hemat saya, UMNO sudah menari mengikut rentak pembangkang. Tetapi harus di ingat, pendekatan populis ini hanya untuk jangka pendek meraih sokongan. Jangan nanti terjerat diri. Lihat apa sudah jadi dengan kerajaan negeri dibawah pembangkang. Semakin hari leher makin tersepit dek kerana suka menjadi popular. Janji pemimpin adalah harapan rakyat. Sekali janji dimungkiri selamanya rakyat akan ingati!

13 Oktober 2009

Isa Nak Kembali Jawatan MB N.Sembilan?


Selepas kemenangan Tan Sri Isa di Bagan Pinang, maka berbunyilah musuh dalam selimut akan ura-ura Tan Sri Isa ingin merampas kembali jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan daripada Tok Mat (Dato' Seri Utama Hj Mohamad bin Hj. Hassan).

Saya percaya dan yakin suara - suara dubuk ini adalah datang daripada khemah parti penyanggah kerana memang tabiat mereka suka melaga-lagakan umat Muhammad supaya bercerai-berai dan berpecah-belah.

Hal ini tidak menjadi keganjilan selepas berakhirnya PRK di Bagan Pinang maka jarum dan duri semalu mula dicucuk perlahan-lahan agar pimpinan UMNO Negeri Sembilan bercakaran sesama sendiri.

Bagi saya TS Isa dan Tok Mat tidak sebodoh yang mereka sangkakan. Pasti dan pasti ada konsesus dan gentleman aggrement di antara dua tokoh utama UMNO Negeri Sembilan ini selain Rais Yatim, Shaziman dan Ishak Ismail.

Seperti yang saya war-warkan kepada rakan - rakan saya, Tan Sri Isa memilih untuk bertanding di DUN Bagan Pinang ini adalah semata-mata ingin menyempurnakan misi politiknya untuk mengambil semula jawatan Menteri Kabinet yang dilucutkan oleh Kerajaan Islam Hadhari pada tahun 2005 yang lalu.

Pasti Tan Sri Isa kembali bertanding di Parlimen pada pilihanraya umum akan datang. Tan Sri tidak akan bertanding di Jempol sepertimana pilihanraya umum ke-11 lalu tapi di tempat dia berbakti kini - Teluk Kemang!

Walaupun Teluk Kemang adalah kerusi tradisi MIC tetapi politik apa-apa boleh jadi. Untuk merampas kembali kerusi daripada PKR yang diwakili oleh Dato' Kamarul Baharin, sudah pasti UMNO perlu meletakkan calon atas faktor 58% majoriti adalah Melayu.

Sedang Tan Sri cuba merampas kembali Teluk Kemang dan 3 DUN lain dikuasai DAP dan PKR, maka tugasan Tok Mat adalah untuk mengembalikan kerusi 3 DUN Melayu iaitu Paroi - Ampangan - Sikamat dalam MISI TAWAN KEMBALI P-A-S!

MCA perlu diperkasakan dengan pimpinan Dato' Hon Choon Kim dan Dato' Tiger Lee untuk meranapkan impian roket terus berdiri kukuh di Negeri Sembilan.

Misi tawan S - R perlu dimulakan sekarang. Dua kawasan parlimen yang majoriti berbangsa Tionghua iaitu Seremban dan Rasah perlu direbut kembali. Si Loke Siew Fook yang kepingin untuk menghantar DYMM Sultan Perak ke neraka perlu dihumban jauh-jauh daripada rasah bersama - sama idealogi sosialisnya.

Tiada masa rehat. Tiada masa berbulan madu. Ayuh BN Negeri Sembilan, berpadu tenaga dan kembalikan Negeri Sembilan Sifar Pembangkang pada Pilihanraya Umum ke-13!

Bagan Pinang : Gagalnya Fahaman Ekstrimis Menapak di Selatan Tanah Air


 
Berakhirnya episod Pilihanraya Kecil ke-9 bagi penggal Parlimen ke-12 ini telah mencatatkan satu lembaran baru bagi perjalanan siasah politik di negara Malaysia yang tercinta ini.

Signifikan kemenangan cemerlang calon dihati rakyat Tan Sri Dato' Seri Utama Hj Mohd. Isa Bin Hj Dato Abdul Samad sangat bermakna kepada parti pemerintah. Kemenangan yang telah dijangka telah dibayar dengan bonus sekali apabila majoriti telah memuncak dan telah memberi isyarat kepada lawan mereka, tanpa undi pos BN masih boleh menang!

Jauh disudut hati saya ingin suasana dan keceriaan jentera parti yang bertungkus lumus selama lebih 2 minggu ini akan berterusan di pilihanraya - pilihanraya kecil yang lain. Ini telah menaikkan semangat dan moral yang tinggi di kalangan penyokong tegar kem Barisan Nasional (BN).

Ironinya, kemenangan TS Isa telah memberi isyarat jelas bahawa taktik kempen 'character assassination' pembangkang telah memakan diri. Cubaan untuk mengecop TS Isa dengan kesalahan rasuah langsung tidak diambil peduli oleh pengundi untuk menentukan siapa calon idaman kalbu untuk dipangkah di kertas undi.

Pengundi di Port Dickson lebih tertarik dengan personaliti calon yang tidak hipokrit dan sangat setia pada partinya. Belum pernah terjadi dalam sejarah pilihanraya selepas PRU-12, calon BN menang di semua saluran dan peti undi. Saluran 3 dan 4 yang menjadi igauan ngeri BN pasca PRU 12 telah menjadi pembakar semangat dan menambahkan keyakinan untuk berhadapan pembangkang dalam siri - siri pilihanraya lain kelak.

Kegagalan Orang No. 1 PAS di Negeri Sembilan menandanya pengaruh dan personaliti parti bertopengkan Islam ini di Selatan Tanah Air khususnya di Negeri Sembilan tidak berjaya menambat hati majoriti. Dengan tindakan provokasi keterlaluan dan politik gaya Machivellian telah menjadikan mereka seolah-olah hilang hala tuju dan doktrin Islamisasi yang dijunjung selama ini.

Ini adalah disebabkan keterdesakan untuk menang untuk meneruskan episod mendabik dada kepada lawan mereka. Atas sikap inilah, pertimbangan dan rasional mereka lenyap ditelan emosional dan sikap radikal. Sikap memberontak dan menunjuk-nunjuk perlakuan jelek mereka di depan pengundi menjadikan petak calon mereka di kertas undi tidak dipangkah oleh sebilangan besar pengundi atas pagar.

Dengan teguran Tok Guru mereka supaya menjaga tertib dan tidak mengaibkan orang lain dikesampingkan menjadikan mereka telah derhaka dan sekaligus melihatkan betapa cakap dan fatwa daripada 'Orang Mulia' tidak lagi didengar.

Tok Guru tidak lagi berperanan sebagai panduan dan pemberi nasihat. Anak buah semakin menggila diatas terdesaknya untuk menang. Sikap ekstrimis dan semakin membarah. Hanya satu penyelesaian - tindakan tegas! Bedilan gas pemedih mata, bedukkan belantan dan siraman air rahmat daripada jentera FRU mungkin menenteramkan jiwa sang pemberontak.

Tetapi satu kesimpulan disini, rakyat Negeri Sembilan menolak politik ekstrimis dan hipokrit!
Ayuh Tan Sri Isa...go for Teluk Kemang Parliamentary in next GE!!!





09 Oktober 2009

Hina Sungguh Perkataan 'Rakyat'!


Politik di Malaysia tidak pernah reda dengan kontroversi semenjak Pilihanraya Umum Pertama 1955 hinggalah sekarang. Keadaan ini lebih meruncing dengan merudumnya sokongan pengundi kepada parti pemerintah pada tahun 2008.

Tetapi ada satu perkataan yang murni tapi telah dijijikkan oleh pimpinan parti siasah di Malaysia ini iaitu R-A-K-Y-A-T.!

Istilah RAKYAT ini digunakan untuk meraih undi dan menagih simpati agar masyarakat umum  menjadikan mereka pilhan di kertas undi.

Hal ini lebih menjijikkan setelah parti-parti pembangkang membuat satu konsesus yang goyah untuk menubuhkan satu rejim siasah yang sama matlamatnya iaitu menjatuhkan kerajaan sedia ada. Ia dikenali sebagai Pakatan Rakyat! Apa yang dipakatkan oleh rakyat. Adakah benar pakatan ini betul-betul membawa aspirasi dan kehendak rakyat kesemuanya?

Adakah keseluruhan rakyat Malaysia membenarkan penipuan fakta dan sikap prejudis pimpinan pembangkang dalam apa jua yang kerajaan telah jayakan?  Konotasi dan implementasi yang tidak jelas dalam kewajaran penggunaan perkataan R-A-K-Y-A-T ini membawa 1001 persoalan dibenak kepala saya.

Di Bagan Pinang, kepala manifesto pembangkang berbunyi Bersama Kehendak Rakyat juga menimbulkan kekeliruan saya. Adakah ini bermaksud pembangkang bersama kehendak penjenayah (juga rakyat), kaki rasuah (juga rakyat), atau anak-anak kecil yang tahu merengek bila gagal mendapat apa yang dihajatinya (juga rakyat)?

Jika benar, tugasan berat telah menanti pakatan ini terutama di negeri - negeri yang telah mereka menang. Mereka perlu memuaskan hati rakyat yang bukan sahaja terdiri daripada orang baik-baik tetapi penjenayah juga jangan dilupa untuk memenuhi kehendak mereka. Kes pembelaan atas kematian A.Kugan juga menunjukkan mereka sedaya upaya memenuhi kehendak rakyat yang menjadi penjenayah. Tahniah! Ramai lagi penjenayah diluar sana memohon 'pembelaan' yang sewajarnya daripada Pakatan Rakyat yang sentiasa menjuarai isu masyarakat!

Penggunaan istilah RAKYAT ini adalah terkenal semasa zaman - zaman revolusi di negara barat. Semasa Revolusi Rusia 1917, Vladimir Ilyich Lenin menggunakan indikator dan implementasi yang sama iaitu menggunakan istilah RAKYAT untuk memujuk orang Russia bangkit menentang Tsar.

Bagi saya, istilah dan penyalahgunaan RAKYAT ini adalah manifestasi daripada kewujudan aliran sosialis dan komunis! Kebanyakan buku dan manuskrip yang beraliran ini sering mengaitkan dengan kebangkitan RAKYAT. Adakalanya idea untuk menyamaratakan hak dan status rakyat adalah baik tetapi di dalam suatu ketika ia sebenarnya menidakkan kesungguhan dan ketekunan segelintir rakyat untuk mendapat apa yang dihajati berbekal apa yang dimiliki.

Misalnya, doktor dan petani mendapat gaji yang sama dan berbasikal yang sama. Ini tidak adil kepada doktor. Inilah yang diterapkan dalam fahaman sosialis dan komunis dengan berbonekakan perkataan RAKYAT!

Saya melihat, anasir fahaman ini sudah mula menular di dalam khemah persekutuan parti pembangkang ini. Kenapa saya kata khemah tidak rumah? Sebab pakatan yang dibuat ini tidak kuat dan hanya disokong oleh paku-paku disekelilingnya sahaja bukannya bancuhan konkrit dan besi bertetulang yang kuat! Bila-bila masa akan tumbang!

Tetapi amat malang, parti pemerintah juga telah terikut-ikut dengan gaya pembangkang dengan mengokspolatasi kalimah RAKYAT ini untuk meraih undi. Tidak perlu bercakap BN sentiasa membela rakyat kerana istilah rakyat memberikan pelbagai istilah yang kontradiksi.

Istilah rakyat telah menjadi satu kalimah retorik dalam kotak pemikiran saya sama ada ia datang daripada parti penyanggah mahupun kerajaan, perkataan RAKYAT ini telah disalahgunakan sama sekali! dalam erti kata lain, kalimah R-A-K-Y-A-T telah dilacurkan oleh orang politik menjadikannya lebih hina dari zina!


08 Oktober 2009

BN Masih Amalkan Politik Gaya Kampung di Bagan Pinang!

Saat selepas saya menonton berita di NTV7 petang semalam (7 Okt 2009), saya berasa amat kecewa dan tidak selesanya hati apabila diberitakan bahawa kerajaan akan mengumumkan 2 berita baik pada hari ini ( 8 Okt 2009) kepada penduduk India di Estet Siliau kalau tidak silap saya.

Ia adalah pembinaan sekolah jenis kebangsaan (tamil) dan pemberian rumah kos rendah.

Saya bukan menentang hasrat kerajaan ini tapi ada dua kesangsian saya berkenaan gula-gula getah pemberian kerajaan ini.

Pertama, kenapa kerajaan 1Malaysia hanya melihat 19.2% pengundi India sebagai faktor dominan untuk menang di Bagan Pinang tetapi lupa kepada kaum yang mempunyai majoriti lebih 66% sebagai pengundi yang layak berdaftar? Kenapa ini masih juga berlaku sedangkan pengalaman PRK lepas telah menunjukkan kita bahawa pengundi minoriti ini tidak menunjukkan sokongan yang jelas pada kertas undi?

Kedua, adakah ini konsep 1Malaysia? Jika benar seperti dikata, disinilah mulanya gagasan penyatuan dan perpaduan kaum digerakkan. Bukan pembinaan sekolah vernakular ini tapi satu sekolah kebangsaan, tak perlu sekolah jenis kebangsaan lagi dibina di Malaysia! Jika tidak benar, maka sahih dan tepatlah konsep 1Malaysia ini merupakan retorik dan idealisme subjudis kerajaan.

Pilihanraya K.Terengganu, pemberian insentif kepada sekolah-sekolah Cina tidak membantu sokongan kaum itu yang cuma kurang 5% daripada pengundi K.Terengganu. Kes di Kuala Sepetang dalam Parlimen Bukit Gantang juga tidak dijadikan iktibar oleh BN.

Sebegitu juga di Bukit Selambau, pelbagai janji2 pembangunan ditawarkan kepada India yang juga bukanlah kaum majoriti pengundi juga tidak berjaya.

Di Bagan Pinang, episod ini terus berulang tanpa ada kesedaran oleh BN untuk membela kaum penentu jatuh dan bangunnya kerajaan - MELAYU!

Saya bukan bersifat ultra-melayu tapi lebih kepada ledakan perasaan kekecewaan saya kepada kerajaan yang lebih menghargai kaum lain selain melayu. Ini bukan sahaja terjadi di dalam pilihanraya kecil tapi dalam segala aspek.

Hak orang melayu semakin dikesampingkan. Berbicara hak akan dituduh rasis dan cauvinis manakala hak kaum lain itu perjuangan hak asasi.

Kenapa tidak di Bagan Pinang ini, insentif perlu diberi kapada kaum melayu yang menjadi faktor utama kerajaan Negeri Sembilan berdiri kukuh. Dalam 21 ADUN BN, 19 adalah UMNO. MIC dan MCA tersungkur di Negeri Sembilan atas sebab tidak mendapat sokongan bangsa mereka sendiri. Adakah pemimpin BN buta mata dan buta hati melihat senario dan realiti sebenar?

Sokongan orang Melayulah yang menyebabkan UMNO terus berkuasa di Negeri Sembilan. Dan kuasa orang Melayulah yang menyebabkan 3 DUN UMNO (Paroi - Ampangan - Sikamat) yang dihuni oleh kebanyakannya teknokrat dan bijak pandai Melayu Negeri Sembilan kalah pada PRU lepas.

Memanglah benar kata orang, UMNO parti orang kampung. Orang bandar pasti tidak menyokong UMNO walaupun kejayaan mereka hasil daripada UMNO dan kerajaan. Persepsi dan mentaliti bijak pandai ini perlu diubah untuk menyokong kembali kerajaan yang memerintah. UMNO juga perlu buang imej bongkak dan sindrom penafian untuk menerima hakikat ini dan menggerakkan usaha ke arah meraih kembali sokongan bijak pandai melayu.

Jika UMNO ingin terus berkuasa, mereka perlu pandang dahulu kepada oranng yang mempertahankan mereka di puncak kuasa bukan kepada orang lain yang tidak pasti sokongannya itu bertahan sampai bila.

UMNO dilihat sangat defensif dan takut kepada dua parti kompenan yang GAGAL secara total dalam PRU lepas. Natijahnya, orang yang setia memepertahankan kerajaan dipinggirkan, orang yang menentang pula dikendong-kendong.

Adakah ini pengakhiran nasib orang Melayu di Malaysia. Alternatif kepada pihak pemerintah juga dilihat mengamalkan dasar yang lebih berbahaya kepada Melayu. Dimana dahan untuk bergayut, Dimana tiang untuk berpaut.

Benarlah kata-kata pepatah popular orang Melayu, " Beruk dihutan disusukan, Anak dirumah mati kelaparan" akan menjadi " Bukan Melayu diutamakan, Bangsa sendiri melarat,managih simpati"

04 Oktober 2009

Kesan Penting Pilihanraya Bagan Pinang di N.Sembilan


Pilihanraya kecil N31 di Bagan Pinang memberikan signifikan yang sangat penting untuk survival BN dan khususnya UMNO di Malaysia.

Terletak di Negeri Sembilan yang merupakan antara negeri terkuat UMNO selain Sabah,Johor,Melaka dan Pahang.

Pilihanraya ini akan menentukan sama ada UMNO telah diterima rakyat atau pengaruh pembangkang memang ternyata kuat.

Bagi saya, pilihanraya ini cukup penting bukan sahaja pada UMNO tapi untuk PAS terutama di Negeri Sembilan. Ini kerana lawan TS Isa merupakan orang no.1 PAS di Negeri Sembilan. Kalahnya orang no.1 ini bererti pengaruh PAS ternyata rendah di N.Sembilan.

Untuk kita melihat kejayaan PAS di N.Sembilan ini tidak banyak berbanding negeri-negeri pantai timur ataupun utara tanah air. PAS hanya menang atas UNDI PROTES bagi kawasan N25 DUN Paroi pada pilihanraya umum lepas. Sentimen protes ini juga tertempias di dua buah lagi Dun majoriti melayu iaitu di DUN Ampangan dan Sikamat tapi diwakili oleh PKR.

PAS hanya menang satu kerusi dan kalah ditempat lain termasuklah Zulkefly di Dun Lenggeng merupakan satu isyarat menunjukkan bahawa pengaruh PAS tifak kuat di negeri Adat Perpatih ini. Kemenangan calon tunggal di Dun Paroi (terletaknya rumah bonda dan tempat mengundi saya) hanya kerana belas ehsan pengundi UMNO (anti-Pak Lah) dan pengundi atas pagar.

Maka sekiranya Zulkefly terlentang di Bagan Pinang selepas tertonggeng di Lenggeng, kita bloleh rumuskan bahawa riwayat parti berlambangkan bulan ini boleh melupakan hasrat untuk menajadi parti dominan umat melayu di negeri sembilan ini.

Daripada 15 wakil rakyat pembangkang di Negeri Sembilan dalam DUN, 10 diwakili DAP, 4 PKR (2 melayu) dan 1 PAS manakala BN yang menang 21 kerusi diwakili oleh 20 UMNO dan 1 MCA, maka secara jelas kita boleh lihat umat melayu N.Sembilan masih melihat dacing dan keris sebagai lambang kuasa kerajaan negeri dan ia perlu dipertahankan.

Justeru itu untuk UMNO menjadi kuasa tunggal orang melayu di N.Sembilan, gerakan untuk menawan 3 Dun melayu harus dimulakan daripada sekarang.

Maka Gerakan Tawan Kembali PAS (Paroi - Ampangan - Sikamat) perlu digerakan segera bagi membuktikan bahawa UMNO kekal relevan di negeri ini.

Allahuakbar!

01 Oktober 2009

Pemilihan Isa di Bagan Pinang : Dr. M benar, pemilihan Isa juga tidak salah

Salam..

Tidak terlewat untuk saya ucapkan Selamat Menyambut Hari Lebaran pada semua umat Islam. Syukur pada Allah kerana kita masih dapat menyambut Syawal dalam suasana aman dan harmoni.

Teka - teki pemilihan calon bagi PRK N31 Negeri Sembilan telah terlerai sudah. TS Isa telah dinobatkan sebagai calon BN menentang Pesuruhjaya PAS N.Sembilan.

Ironinya inilah kali pertama Tan Sri Isa bertanding di kampungnya kerana selama ini beliau bertanding di DUN Linggi ( termasuklah kg. saya di Kundur Hilir sebelum ianya dibuat persempadanan semula tahun 2004 untuk masuk ke Dun Chembong).

Sapa yang tidak kenal dengan Isa Samad? Orangnya peramah, suka bergaul, selalu berseloroh dan bila berucap dipentas mesti ada lawak jenaka.

Tetapi pemilihan beliau sebagai calon penuh ranjau dan duri. Saya juga berada di dalam dilemma sama ada menyokong kenyataan Dr. M atau tidak berkenaan Isa sebagai calon BN di sini.

Dalam satu aspek, memang ada kebenaran Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa lebih baik Isa tidak menjadi calon kerana track record yang agak tercalar sedikit. Ada pihak yang menyokong dan menyanggah kenyataan ini.

Bagi pendapat saya, untuk memenangi pilihanraya kecil dengan pilihanraya umum agak berbeza. Untuk pilihanraya kecil, sentimen pengundi setempat dijadikan faktor dominan untuk penentuan calon paling layak. Manakala PRU, isu-isu nasional mewarnai perang psikologi untuk memikat pengundi.

Tun Dr. M mungkin melihat daripada segi kesannya kepada negara amnya. Transformasi UMNo yang dicanangkan masih belum menampakkan hasilnya. Ini yang dilihat daripada kaca mata negarawan tersebut.

Manakala pembesar-pembesar UMNO terutama Presiden dan Timbalan melihat isu ini lebih kepada isu setempat dan sentimen pengundi di P.Dickson tidak boleh diketepikan terus.

Walau apapun pendapat dan hujah, keputusan telah dibuat dan semua penyokong BN perlu akur dan taat. Maka peperangan untuk memenangi hati rakyat perlu dimulakan sekarang.

Kita harus ingat, walaupun wajah kemenangan sudah kelihatan tetapi sikap over-confident boleh memakan diri. Lihat sahaja apa yang terjadi dengan Kuala Terengganu dan Bukit Gantang.

Strategi dan taktik berkempen juga perlu sesuai dengan kehendak pengundi setempat. Cara konvensional sudah seakan tidak relevan lagi. Pendekatan baru yang lebih realistik dan pro-aktif mesti digunakan.

Sikap defensif BN-UMNO dalam pilihanraya kecil selepas PRU-12 menampakkan kegagalan yang nyata. Kaedah offensif sangat-sangat diperlukan untuk mematahkan serangan pembangkang terutama character assassin yang diguna pakai saban kali oleh pembangkang.

Jika ada pihak mempertikaikan Isa sebagai calon recycle. Jangan lah duk pertahankan Isa sahaja tapi perlu menyerang kembali calon PAS yang lagi teruk. Recycle dan tak pernah menang walaupun di kampung sendiri (Lenggeng). Zulkefly kalah di DUN Lenggeng dengan YB Mustpha Salim walaupun ketika itu team Dato' Ishak Ismail tidak membantu jentera kempen.

Ini kan pula di tempat sepak terajang Isa Samad sejak kecil lagi.

Tetapi nampaknya PAS agak berhati-hati memainkan sentimen peribadi Isa di pilihanraya ini takut-takut ketika asyik berceraramh menghentam Isa, kayu melayang dari tempat penonton hinggap di dahi! Waspadalah..!!

1 Celaan Untuk Isa,
1 Tambahan Undi Untuk BN!