Sudah pasti setiap insan di bumi Malaysia akan ternanti - nanti harapan dan janji kerajaan untuk menterjemahkan apa yang diungkap sebagai Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Tahun lepas pembentangan bajet yang dibuat oleh Mantan Perdana Menteri Kerajaan Islam Hadhari yang berkonsepkan 'Kerajaan Prihatin' telah memperuntukan sebanyak RM 207.9 billion yang dipecahkan kepada dua sub iaitu belanja mengurus (RM154.2 billion) dan belanja pembangunan (RM53.7 Billion).
Sejauh mana perbelanjaan ini dapat dimanifestasikan tidak dapat dibuktikan kerana tidak ada data dan fakta yang empirikal menyokong belanjawan tersebut mencapai sasarannya.
Seharusnya sebelum sesuatu bajet baru dibentangkan, parlimen dan rakyat perlu dimaklumkan terlebih dahulu oleh Menteri Kewangan tentang pencapaian bajet negara tahun sebelumnya. Kerana ramai yang percaya, angka - angka yang diucap dan ditulis tidak lebih daripada digit - digit sahaja, amaun yang sebenar sukar dipercayai.
Agak mengejutkan dengan suara - suara keluh kesah Perbendaharaan Malaysia tentang sumber kewangan yang sangat terhad, pada Mac 2009 PM 1Malaysia yang baru mengambil alih tampuk kepimpinan telah mengumumkan pakej ransangan ekonomi ke-2 berjumlah RM 60 billion yang terbahagi kepada 4 sub sektor teras :
(1) RM 2 billion untuk penambahan bilangan pekerjaan dan mengangani isu penggangguran
(2) RM 10 billion untuk membantu golongan rakyat yang mudah terjejas (samar - samar matlamatnya)
(3) RM 29 billion untuk membantu sektor swasta menghadapi krisis ekonomi semasa
(4) RM 19 billion untuk membina keupayaan masa depan.
Jika termasuk pakej ransangan ekonomi pertama yang diumumkan oleh PM Islam Hadhari pada November 2008 yang berjumlah RM 7 billion, maka jumlah total kos mengurus negara pada tahun ini adalah RM 274.9 billion!
Tetapi benarkah jumlahnya RM 274.9 billion? Sehingga akhir sukuan tahunan ke-3 (September 2009), berapa % pencapaian perbelanjaan negara? Ini perlu dikemukakan dengan telus oleh Menteri Kewangan kepada rakyat. Jangan hanya hebat dicoret di atas kertas tetapi sebenarnya kantung negara banyak angin daripada isi!
Bagi saya yang kurang arif dalam bidang ekonomi ini, pakej ransangan ini tidak perlu diadakan sebenarnya. Ransang - ransang ini hanya layak untuk puak-puak PAS yang gemar dengan ubat - ubat ransangan seperti banyak dibuktikan dalam makalah hasutan Harakah dan laman web tin kosong pengadu domba Harakahdaily.
Biarlah bajet 2009 kekal dengan amaun asal iaitu RM 207.9 billion dengan kita membuat sedikit pindaan dengan pengurangan belanja mengurus dan menambah belanja pembangunan. Banyak yang boleh dikurangkan dalam sektor pengurusan negara misalnya belanja pemberian dan emolumen sebanyak RM 124.3 billion dan pembelian aset sebanyak RM 2 billion. Bagi saya kakitangan awam, ketiadaan bonus 1 bulan untuk tahun lepas tidak menjadi masalah sekiranya ia dapat membantu menambah ringgit negara untuk belanja pembangunan.
Untuk tahun ini juga sekiranya tidak ada bonus untuk penjawat awam juga harus diterima dengan lapang dada. Jangan nanti demi menjadi popular, kerajaan akur dengan cadangan CUEPACS untuk pemberian bonus 2 bulan. Kita perlu bersikap rasional berkenaan perkara ini.
Wang yang dijanjikan berjumlah RM 67 billion untuk kedua-dua pakej ransangan ekonomi bolehlah disimpan sebagai dana kotegensi negara terutama untuk menampung kekurangan pelaburan langsung asing (FDI) yang bakal menyusut akibat krisis ekonomi global.
Belanjawan 2010 ; Apa harapan rakyat?
Saya berharap sebagai rakyat Malaysia, kerajaan 1Malaysia perlu memikirkan tentang kesan jangka panjang impak daripada pembentangan bajet 2010 nanti. Jangan sebab teruja untuk menjadi popular di kalangan rakyat, maka kerajaan gagal merencanakan pembahagian kek peruntukan 2010 dengan baik.
Di atas lembar sejarah telah menunjukkan kerajaan yang bertahan lama adalah kerajaan yang tidak mengambil pendekatan populis untuk keuntungan jangka pendek tetapi bertindak demi kelansungan hegemoni masa hadapan. Melainkan kerajaan 1Malaysia ingin memohon restu rakyat untuk mengembalikan mandat yang lebih kuat dalam pilihanraya umum dalam masa terdekat.
Kurangkan belanja sektor pengurusan. Tambahkan dalam sektor pembangunan terutama dalam bidang pendidikan, kesihatan dan pekerjaan. Sektor hartanah dan perumahan juga perlu diambil kira oleh kerajaan dengan isu harga rumah yang melambung dan agak mustahil dibeli oleh golongan berpendapatan rendah & pertengahan, kerajaan perlu tegas dalam mengarahkan pemaju dan pemilik tanah berkongsi usaha untuk membantu. Jangan pedulikan desakan REHDA yang tidak mahu membina perumahan mampu milik atas faktor tiada profit yang tinggi. Ini cakap orang yang fikir perut sendiri sahaja! Kerajaan perlu tegas dengan mengenakan syarat wajib 30% rumah yang dibina dalam suatu kawasan mesti mengandungi rumah mampu milik.
Kerajaan perlu kurangkan kos mentadbir dan pengurusan dana awam. Elakkan kursus diluar negara yang tidak memberi manfaat. Hanya jalan-jalan makan angin harus dihentikan sama sekali. Setiap perbelanjaan kementerian, jabatan dan semua agensi dibawah kerajaan perlu dipantau wang keluar masuk agar tidak akan terjadi defisit yang keterlaluan dan meragukan apabila di audit kelak.
Langkah penjimatan dan cermat ini dapat menjimatkan banyak wang negara dalam sektor pengurusan.
Inilah masanya syarikat - syarikat GLC seperti TNB, Khazanah dan sebagainya membantu kerajaan dalam menangani keadaan ekonomi semasa.
Ambil pendekatan yang digarap oleh Kerajaan Wawasan 2020 apabila krisis matawang Asia 1997/98 berlaku, Petronas telah diminta untuk menampung kos pembangunan di Putrajaya dan Cyberjaya. Tanpa suntikan dana khas daripada Petronas, tidak mungkin kita dapat menjejak kaki di Putrajaya yang serba canggih hari ini.
Cabaran ekonomi yang mendatang tidak menjanjikan apa - apa tanpa lahir idea serta dasar dan langkah yang berkesan untuk melaksanakannya.
Dasar Liberalisasi perdagangan dan ekonomi yang diumumkan oleh PM 1Malaysia masih belum nampak keberhasilannya. Adakah dasar liberal ini menguntungkan rakyat atau tidak (terutama Melayu yang masih ketinggalan), masa yang akan menentukan.
Dasar ini nampak seperti ubat yang boleh menyembuhkan tetapi apabila tersalah langkah dengan terlebih dos dan pengambilan dalam keadaan yang tidak sesuai, maka ubat itu akan menjadi racun yang boleh melumpuh dan membunuh sang empunya diri...
3 ulasan:
SLM BRO..BILA TERBACA DLM KERATAN AKHBAR PSL KES PENYALAHGUNAAN PERUNTUKAN DI KALANGAN KETUA2 JABATAN NI MMG SAKIT SKET LA BELANJAWAN KALI NI. MANA2 JABATAN YG MENYALAHGUNAKAN PERUNTUKAN TU PATUT DI AMBIL TINDAKAN SEWAJARNYA SEBELUM PEMBANGKANG MENGAMBIL KESEMPATAN.
APA PUN KERAJAAN HARUS MENINGKATKAN PERTAMBAHAN BELANJAWAN SELARAS DGN KEPERLUAN RAKYAT TERUTAMANYA PASARAN MODAL INSAN. LEBIH BYK TENAGA MAHIR DI LAHIRKAN MAKA LEBIH TINGGI POTENSI SYARIKAT LUAR UTK DTG MELABUR DI NEGARA INI
Maaf kepada Anon yang telah meninggalkan komen tetapi telah hilang akibat masalah komputer.
Maklumlah komputer lama, nak deco blog ini pun tak mampu.
Maaf sekali lagi.
Walau apa pun terima kasih atas nasihat dan kritikan membina tuan kepada saya.
Memang benar kata tuan, saya bercakap dan memberi idea perlu lihat senario semasa. Dan inilah tugas kita sebagai rakyat marhean untuk memberi sedikit idea walaupun tidak digunakan tetapi dijadikan titipan.
Ini tugas kita, menasihatkan kerajaan tanpa dibayar. Inilah bukti sayangnya kita kepada kerajaan yang memerintah sekarang.
Kepada Bro Jeffry,
Memang benar terdapat kes penyalahgunaan dana dan kuasa dikalangan pegawai kerajaan.
Di JKR ini pun saya tidak menafikan. Cuma saya tidak boleh menuduh tanpa bukti yang sahih. Itu kerja PAS dan PKR.
Biarlah Tan Sri Ambrin Buang dan anak buahnya di Jab. Audit menjalankan kerja.
Harap laporan yang akan dikemukakan telus tanpa dipengaruhi mana-mana pihak berkepentingan.
Catat Ulasan