Sayap - sayap UMNO masih jauh daripada landasan perubahan yang dicanangkan sekiranya ucaptama Ketua setiap sayap tersebut di ambil sebagai kayu ukur. Bukan hendak menjadi terlampau skeptikal atas lontaran idea yang dikemukakan oleh mereka tetapi corak pemikiran yang diterjemahkan melalui bait-bait ucapan melihatkan bahawa mereka masih tidak faham apa itu TRANSFORMASI.
Memang tidak dinafikan bahawa harapan dan cabaran yang dicanangkan merupakan mesej untuk perubahan tapi ia hanya mendatangkan sedikit impak dan kesan daripada segi penerimaan rakyat.
Saya agak hairan kenapa perlu Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri apabila berbicara dipentas perhimpunan asyik mengungkit dan menceritakan satira lapok dan permintaan itu dan ini walhal mereka merupakan salah satu kompenan daripada struktur tulang belakang parti pemerintah.
Tidak payah nak menceritakan di atas pentas minta 30% kuota jawatan tinggi diberi kepada wanita (Ucapan Ketua Wanita), jangan tunduk sikap prejudis Indonesia dalam isu pembantu rumah asing (Ketua Puteri) dan memperkasakan wadah belia (Pemuda) kerana kamu merupakan sebahagian daripada kerajaan!
Yang peliknya, isu-isu yang diutarakan oleh Wanita dan Puteri (seperti di atas) seharusnya boleh diambil tindakan oleh wakil mereka di dalam kerajaan misalnya Senator Dato' Maznah Mazlan yang merupakan Timbalan Menteri Sumber Manusia mempunyai autoriti dalam hal berkenaan isu tersebut.
Seperti itu juga dengan Ketua Pemudanya yang petah berbicara, kerja entah kemana! Isu memperkasakan belia bolehlah disyorkan kepada Naibnya yang merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Saya pasti syor itu akan berjaya dengan cemerlang sekiranya Ketua Pemuda sudi laburkan dana atas semangat SETIA-KAT-WANG beliau!
Nampaknya retorik masih membelenggu kotak fikiran pemimpin sayap UMNO. Pendekatan populis terus menjadi inspirasi dalam perucapan umum mereka. Sedangkan mereka lupa, cakap-cakap populis mereka itu sebenarnya menidakkan usaha kerajaan dan memberi peluru untuk pembangkang bersuara.
Iya, memang tidak salah untuk mengkritik kerajaan tetapi anda juga merupakan kerajaan. Cubit peha kanan, peha kiri terasa juga. Lebih baik sayap-sayap ini membentangkan solusi dan pendekatan yang boleh mereka garap untuk bantu usaha kerajaan bukan hanya membuat tuntutan macam-macam semata - mata untuk menjadi jaguh di mata perwakilan dan rakyat.
Pendekatan populis ini merupakan strategi pembangkang sejak dahulu lagi. Maka benarlah pada hemat saya, UMNO sudah menari mengikut rentak pembangkang. Tetapi harus di ingat, pendekatan populis ini hanya untuk jangka pendek meraih sokongan. Jangan nanti terjerat diri. Lihat apa sudah jadi dengan kerajaan negeri dibawah pembangkang. Semakin hari leher makin tersepit dek kerana suka menjadi popular. Janji pemimpin adalah harapan rakyat. Sekali janji dimungkiri selamanya rakyat akan ingati!
1 ulasan:
Salam, selamat berjuang di alam maya...
Jarang sekali krajaan UMNO melupai janji-janji untuk kebajikan rakyat. Kekadang sikap pemimpin UMNO setempat yang sering berdolak dalik demi kepentingan diri, sikap inilah yang menyebabkan rakyat marah kepada kerajaan..........
Catat Ulasan