Hari ini 19 Oktober 2009 akan bermulanya kembali Persidangan Dewan Rakyat bagi Parlimen ke-12, Penggal ke-2, Mesyuarat ke-3.
Maka hari ini akan kembalilah ahli-ahli Parlimen untuk duduk sembang-sembang di dalam dewan rakyat. Hari ini mungkin kehadiran akan penuh kerana tidak mahu lepas peluang bertemu Perdana Menteri (untuk minta bajet kawasan) bagi Kelab Penyokong Kerajaan BN-BBC, manakala 81 orang ahli parlimen pembangkang akan berjumpa untuk membincangkan apa nak dibuat untuk bikin kecoh kali ini.
Seperti bermulanya sesi persekolahan, anak - anak akan teruja untuk hadir ke sekolah tetapi semasa sesi pembelajaran bermula maka sikap malas dan bosan akan datang. Maka untuk hilangkan bosan,anak - anak ini akan membuat aktiviti yang mereka suka seperti suka membuat bising dalam kelas,lari panjat pagar sekolah, hidu gam atau yang baik sikit bercinta-cintun.
Seperti itu juga keadaan dapat dilihat di dalam Parlimen Malaysia khususnya Dewan Rakyat yang menghimpunkan 222 wakil rakyat seluruh Malaysia. Sikap mereka juga hampir sama dengan anak-anak kecil. Suka membuat bising dan mengganggu perucapan dan perdebatan. Kalau menyampuk kena pada isu dan isinya tidak apalah, ini lain yang dibahas lain yang di soal. Kalau budak sekolah, dah kena penampar dah tu!
Ada rasionalnya kerajaan tidak membenarkan siaran langsung perdebatan dalam dewan di kaca televisyen dek kerana perangai kebudak-budakan sebilangan ahli parlimen sangat memalukan kita. Mungkin mereka melihat parlimen Taiwan dan Korea Selatan sebagai ikon ikutan mereka, maka tidak salah mereka membuat lagak yang senang ditakrifkan sebagai bodoh.
Tidak perlu terjerit -jerit untuk mencelah atau meminta izin berucap, cukup sekadar berdiri dan mohon izin YDP Dewan dengan perkataan berhemah. Jangan jadikan dewan sebagai gelanggang untuk menunjukkan kita adalah jaguh membela rakyat. Berdebat dalam dewan perlukan seni dan lagak tertib tersendiri.
Ubahlah sikap keanak-anakan itu dengan sering menunjuk - nunjuk minta diberi perhatian. Ubahlah sikap dengan bercakap hal-hal politik kepartisan di dalam dewan. Tidak payah cakap pasal politik kerana ini bukanlah tempatnya. Tempat untuk cakap politik adalah di atas pentas penceramah atau diluar parlimen sana. Di Parlimen, adalah tempat amanah dan janji kepada rakyat untuk direalisasi dan ditunaikan. Bincang perkara menguntungkan rakyat bukan untungkan parti politik..!
KEMANA PERGI AHLI PARLIMEN BN..?
Sedang saya membelek Aturan Urusan Mesyuarat untuk persidangan hari ini, saya tercari -cari soalan yang bakal dikemukakan oleh ahli kelab penyokong kerajaan BN-BBC. Apa yang saya perolehi amat memeranjatkan dan mengecewakan saya.
Daripada 40 soalan - soalan lisan, BN hanya mengemukakan 17 daripada 40 soalan yang diluluskan. Ini bererti hanya 42% soalan tersebut datang daripada kem kerajaan yang mengandungi 137 ahli dewan. 23 soalan lagi datang dari kelompok lebih kecil yang berjumlah 84 orang (81 pembangkang , 3 bebas termasuk 2 daripada SAPP). Sungguh memalukan!
Untuk Aturan Mesyuarat dan Pembentang Usul pula, kem kerajaan hanya mengemukakan 17 (daripada 66) usul ini pun termasuk 12 usul pertama yang dibentangkan bagi bacaan kedua rang undang-undang bagi 3 kementerian (Kewangan, KKLW dan KPDHEP). Bagi BN-BBC yang mengandungi 79 ahli hanya mengemukakan 5 soalan. Itupun daripada Dato' Dr Marcus Majigoh (Putatan) seorang! Lain..?
Dibandingkan dengan keprihatinan dan keseriusan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang bagai langit dengan bumi. Lihat misalnya Zulkifli Nordin (PKR - Kulim/Bndr Baharu) mengemukakan 24 usul untuk dibawa di dalam dewan yang banyak menyentuh mengenai Islam dan perundangan syariah. PAS dan UMNO perlu malu dengan Saudara Zulkifli. (walaupun saya tidak menyukai beliau)
PAS yang sibuk dengan idealisma Islamisasinya hanya mengemukakan 2 usul itupun isu PKFZ dan skandal UMNO/BN daripada Mahfuz Omar (Pokok Sena).
UMNO patut lebih malu! Dengan gagasan 1Malaysia dan sibuk dengan idea menjadi robot transformasinya, satu soalan pun tak dikemukakan. Mungkin sibuk untuk persidangan tempoh hari dan rumah terbuka Aidilfitri agaknya!
Si gemuk Gwo-Burne Loh (Kelana Jaya) pun berjaya kemukakan 3 soalan walaupun agak tidak relevan, (isu suruhanjaya diraja untuk kes altantuya) dia menunaikan juga tanggungjawab sebagai ahli parlimen tidak seperti majoriti MP UMNO dan BN yang datang ke dewan hanya untuk menuntut elaun perjalanan dan makan-makan!
Mengikut komposisi ahli dewan semasa, Kerajaan pemerintah dan BBC mempunyai 137 ahli tidak termasuk YDP iaitu Dato' Seri Pandikar Amin Mulia. Barisan kerajaan ada 58 ahli parlimen (25 menteri, 33 timbalan menteri) tidak termasuk 10 senator yang dilantik (3 menteri, 7 timbalan menteri). Maka bakinya iaitu 79 merupakan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC). Tolak Dato JJ jadi duta ke US tinggal 78 orang. Adakah 78 orang ini gagal menjalankan fungsi yang diamanahkan oleh rakyat kepada mereka?
Jika disekolah dahulu, ketidakhadiran tanpa sebab boleh dikenakan hukuman sebat dibontot maka hukuman yang sewajarnya turut dikenakan kepada ahli parlimen terutama BN-BBC yang gagal hadir tanpa sebab munasabah. Bercuti bukan salah satu opsyen untuk gagal hadir kerana sebelum ini dewan telah berehat selama 2 bulan. Kenapa tidak mengambil cuti ketika itu?
Kita sudah hampir masuk purnama ke-6 bagi pemerintahan Kerajaan 1Malaysia. KPI yang dicanangkan perlu diterjemahkan dalam erti kata sebenar. Penunjuk prestasi bagi ahli parlimen juga tidak boleh dikesampingkan. Perangai dan peel mereka yang menyakitkan hati sedang diikuti dengan penuh istiqamah oleh rakyat marhaen.
Jangan nanti, transformasi tak menjadi..
Rakyat makin membenci..
Pilihanraya menjadi saksi
BN tidak menjadi kerajaan lagi!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan