12 Januari 2010

Beza Pemimpin Politik dan Pemimpin Kerajaan


Mungkin kebanyakan orang berpendapat pemimpin politik adalah sama dengan pemimpin kerajaan sekiranya parti yang ditandinginya membentuk kerajaan tida kira kerajaan persekutuan atau negeri.

Namun hakikatnya terdapat jurang pemisah antara pemimpin politik dan pemimpin kerajaan. Mungkin terdapat pemimpin politik yang berjaya tetapi gagal menjadi pemimpin kerajaan. Ada juga yang menjadi menteri ataupun exco kerajaan negeri yang berkarisma tetapi di dalam arena politik, gagal!

Walaubagaimanpun terdapat segelintir individu yang mempunyai kriteria yang mencukupi untuk menjadi pemimpin politik yang disegani dan pemimpin kerajaan yang dihormati tetapi jumlahnya amatlah sedikit!

Contoh pemimpin politik yang berjaya tetapi pemimpin kerajaan yang lemah banyak terdapat di dalam kelompok pemimpin parti pembangkang. Murshidul Am Pas yang berperanan sebagai penasihat menjadi lebih dominan daripada Presiden Pas sendiri.

Kenyataan - kenyataan Murshidul Am ini akan dilihat seperti kenyataan rasmi Pas walaupun ianya keluar bukan secara konsesus ahli majlis tertinggi parti. Kenyataan peribadi menjadi hujah tunggal! Ini menunjukkan bahawa Murshidul Am ini mempunyai pengaruh yang besar di dalam parti. Beliau boleh digelar sebagai seorang yang berjaya menjadi pemimpin politik.

Walaubagaimanapun, untuk menjadi pemimpin kerajaan yang efisien, kejayaan menjadi pemimpin politik tidak boleh dijadikan asas. Beliau boleh lah dianggap sebagai pemimpin kerajaan yang lemah dek kerana kepincangan pemerintahan Isle di Kelantan menjadikan negeri yang kaya dengan 'human capital' itu ketinggalan daripada negeri - negeri yang lain. Lebih ketara apabila beliau menuduh segala kepincangan dan kebobrokan yang berlaku dalam negeri pentadbiran beliau adalah disebabkan UMNO dan BN!

Seboleh - bolehnya setiap benda buruk yang berlaku pasti menuding jari ke arah UMNO dan BN. Ini bukan ciri pemimpin yang idealistik, ini pemimpin yang retorik!

Contoh lain adalah pemimpin - pemimpin pembangkang di Pulau Pinang dan Selangor. Berjaya mendaki puncak parti dan bergelar Majlis Tertinggi Pusat dan Negeri tetapi gagal apabila menjadi Ketua Menteri/ Menteri Besar dan exco negeri.

Amalan Pas sejak berkurun lama iaitu 'tai chi method' (menuding jari kepada orang lain) dipraktikkan dengan jayanya sekiranya gagal menangani sesuatu isu dengan berkesan. Mangsanya sudah semestinya BN! Begitu mudah menjadi pemimpin kerajaan apabila berkuasa. Semua yang tidak kena adalah salah BN. Anak dia terberak dalam seluar di sekolah pun pasti menyalahkan BN!

Berlainan pula di blok kerajaan kerana ramai tokoh yang dilihat berjaya menjadi pemimpin kerajaan tetapi gagal menjadi pemimpin politik.

Lihat bagaimana Samy Vellu, Rafidah Aziz, Abd Kadir Sheikh Fazir dan Syed Hamid Albar.

Walaupun mereka juga diselubungi beberapa insiden dan skandal yang mengejutkan negara misalnya MRR2 (Samy Vellu), AP (Rafidah Aziz) dan Pulau Batu Puteh (Hamid Albar) tetapi prestasi mereka secara keseluruhan boleh dibanggakan.

Kejayaan Samy Vellu menyelesaikan masalah dan aduan orang ramai berkenaan tugasan Kementerian Kerja Raya amat membanggakan. Sehingga kini prestasi dan kaedah kerja Samy Vellu di kementerian ini sering disebut dan dibandingkan dengan menteri sedia ada. Ini adalah pengalaman saya sendiri.

Walaupun ada beberapa insiden yang menyebabkan saya marah kepada beliau seperti kes kalongan selipar kepada Tun Dr. Mahathir, tetapi sumbangan beliau tidak boleh kita nafikan begitu sahaja. Tetapi diluar sana, beliau dianggap liabiliti kepada BN dan menyebabkan undi kaum India jauh merosot.

MIC mungkin tidak ditadbir dengan baik oleh beliau, tetapi kepimpinan beliau di dalam kementerian ini wajar diberi kredit.

Abd Kadir Sheikh Fadzir adalah Menteri Perlancongan yang berjaya. Dengan imej bow beliau berjaya menjadikan Malaysia destinasi perlancongan terkemuka di dunia. Idea untuk menarik kedatangan pelancong daripada Timur Tengah adalah hasil cetusan beliau walaupun ketika beliau menjadi Menteri Perlancongan dan Kebudayaan, rakyat Timur Tengah tidaklah 'kuat berjalan' seperti sekarang.

Imej RTM pun diberikan nafas baru dengan sentuhan beliau. Boleh disimpulkan bahawa beliau mempunyai kredibiliti membawa perubahan di dalam kementerian yang diterajui. Tetapi beliau gagal dalam percaturan politik di dalam UMNO.

Begitu juga dengan Syed Hamid Albar, dicabar dan tercabar di dalam UMNO Bahagian Kota Tinggi yang diterajuinya tetapi menjalankan kerja dengan baik semasa menjadi Menteri Luar dan Menteri Dalam Negeri.

Semasa beliau menjadi Menteri Luar, kebanyakan kenyataan rasmi negara adalah tegas dan cenderung menyokong negara - negara berkecuali. Tidak seperti sekarang, suara kita mirip suara Singapura. Apa yang dikatakan Amerika Syarikat, semuanya benar belaka. Duta yang menentang polisi zalim dipanggil pulang!

Anifah Aman seorang yang merajuk sebab tidak dilantik menjadi menteri penuh dalam era Pak Lah tetapi tidak ada karisma memimpin Wisma Putra!

Ketika era Syed Hamid Albar menjadi Menteri Dalam Negeri lah isu kalimah Allah ini ditimbulkan. Keengganan beliau untuk menarik balik larangan akhbar Herald Tribune telah mengundang amarah Pak Lah. Ketegasan beliau menahan Teresa Kok dan seorang wartawan akhbar cauvinis Cina dengan ISA menyebabkan Pak Lah memarahi beliau.

Beliau cuba menjalankan tugas sebagai seorang Islam dan Melayu apabila melihat kesucian Islam mula dinodai, tetapi kerana beliau terikat dengan ketua yang lemah, maka beliaulah yang dijadikan bahan cercaan.

Tidak seperti Menteri Dalam Negeri kini, hanya mengugut dan memberi amaran tetapi tidak berani bertindak!

Justeru itu layaklah Syed Hamid Albar tergolong di kalangan pemimpin kerajaan yang disegani tetapi gagal di dalam kancah politik, tersingkir dalam hierarki terbaru kabinet Malaysia..

Mencari pemimpin yang berjaya di dalam kerajaan dan politik bukan satu tugas yang mudah. Ada pemimpin yang mempunyai pengaruh yang besar di dalam politik tetapi menjadi tidak popular apabila membuat keputusan kerajaan dan ada pula pemimpin yang cekap di dalam urus tadbir kerajaan tetapi tenggelam dek henyakan bahana parti siasah mereka sendiri...

Tuntasnya kebijaksanaan pemimpin di atas pentas politik tidak boleh dijadikan kayu ukur atau tiket automatik untuk menilai kebijaksanaan beliau di dalam pentadbiran kerajaan. Ada pemimpin yang tidak pandai berpolitik tetapi bagus di dalam tugas urus tadbir kerajaan.

Terpulang kepada kita untuk memilih pemimpin mana idaman kalbu kerana pemimpin yang hebat di dalam kedua - dua ini sangat sukar dicari selepas bersaranya Tun Dr. Mahathir Mohamad.......

Pemimpin politik - untuk survival agama dan bangsa
Pemimpin kerajaan - untuk survival generasi akan datang

Tiada ulasan: