16 November 2009

Politik Persepsi : Senjata Makan Tuan!



Fitrah alam. Baik di balas baik, jahat akan di balas jahat! Itulah yang sedang berlaku di dalam kem parti - parti pembangkang mutakhir ini.

Jika dahulu mereka menggunakan propaganda dan penyebaran berita berorentasikan persepsi untuk menyerang kerajaan, tetapi kini mereka tertekan dek kerana persepsi ini jugalah menyebabkan mereka di lihat jelek oleh rakyat!

Contoh seperti isu ba'iah talak 3 dan penajaan Menteri Besar Kelantan ke Tanah Haram. Pemimpin Pas menggelupur menjawab dan mempertahankan pendirian mereka.

Walaupun isu ba'iah talak 3 ini bukan lah dipraktikkan oleh majoriti pimpinan Pas, tetapi isu ini sedikit sebanyak telah menyebabkan pandangan orang ramai adalah Pas sanggup memperjudikan institusi keluarga untuk kepentingan politik kepartian! Pengundi wanita yang menguasai 55 % undi sangat responsif dalam isu ini. Muslimah Pas juga terkedu untuk menjawab.

Ketua Muslimah Pas, Nuridah Mohd Salleh mengeluarkan kenyataan menyokong isu ini selepas hanya dikeluarkan di media tidak sampai 48 jam walaupun kenyataan rasmi oleh pucuk pimpinan Pas belum keluar lagi. Nuridah telah melatah ! Seharusnya isu ini biar dijawab oleh pucuk pimpinan parti dahulu dan mengkaji sama ada isu ini benar atau sebaliknya tetapi Nuridah mengambil jalan pintas dengan terus mengeluarkan kenyataan untuk menyokong isu ba'iah ini.

Penajaan pakej menunaikan haji kepada MB Kelantan mewujudkan polemik baru bahawa Murshidul Am Pas itu juga terlibat dengan rasuah. Rasuah bukan setakat dengan wang ringgit tetapi ia berlaku sekiranya sesuatu pemberian itu  menyebabkan adanya keterikatan perjanjian secara tidak sengaja antara penerima dan pemberi! Penaja mesti ada 'benda' yang dimahukan daripada MB Kelantan. Ini telah mendatangkan persepsi negatif di kalangan rakyat kepada Nik Aziz! Kesian..semakin lama memerintah, semakin buruk reputasi, kelak turun takhta langsung tidak dihargai!

Pas tidak bersedia berhadapan dengan taktik baru dunia siasah iaitu politik persepsi. Pas telah terjerat dengan senjata mereka sendiri!

PKR juga tidak terkecuali. Jika dahulu mereka mempertikaikan peranan institusi perundangan dalam kes mahkamah tetapi hari ini penangguhan yang berpanjangan kes liwat Ketua Umumnya mewujudkan persepsi dikalangan rakyat bahawa kebarangkalian Anwar bersalah sangat tinggi memandangkan beliau kecut berhadapan Saudara Saiful Bukhari!

Terbaru kes melibatkan saham RM 8 juta oleh sesumpah belaan 'Raja Sesumpah', Azmin Ali. Anwar menafikan tetapi beliau telah tersalah langkah! Sindrom penafian yang telah dijangkiti oleh Anwar daripada UMNO Zaman Kerajaan Islam Hadhari telah menyebabkan beliau terperangkap dalam persepsi negatif oleh rakyat marhaen.

Kenapa Azmin sahaja di'serang' oleh rakan-rakan blog dan pemimpin diluar sana, tidak orang lain? Ada ramai lagi diluar sana, tokoh politik dan usahawan yang rapat dengan Anwar .

Saya pasti ia tidak ubah seperti kata pepatah, 'kill two birds with one stone!'. Saya pasti mesti ada niat lain selain pendedahan terbuka isu pemilikan saham Azmin ini. Dan saya tahu niat itu adalah untuk menguji sejauh mana kasih dan sayangnya Anwar kepada Azmin! Anwar telah terjerat dengan politik persepsi, senjata telah 'menikam belakang' tuannya kembali!

Jika dahulu hanyap pihak kerajaan BN sahaja yang bersifat defensif dan menjawab sebarang isu persepsi tetapi kini suasana telah berubah! Pembangkang pula nampak keletihan untuk mempertahankan isu persepsi ini! Nak menyerang kerajaan pun tidak ada masa sebab sibuk nak menjawab isu - isu ini! Inilah penangan senjata baru dunia politik ..... persepsi lebih penting daripada realiti!

13 November 2009

Krisis MCA : Menanti Saat Pengharaman MCA!


Bila kemelut MCA ini akan tamat? Semakin hari semakin kompleks jadinya. Masalah 'dalaman' parti sudah meleret - leret hingga ke Parlimen.

Sudah ada dua puak yang jelas di dewan rakyat. Satu kelompok, Ahli Parlimen (termasuk anggota kabinet) menyokong YB Liow dan satu pihak lagi menyokong 'Pelan Perpaduan' tajaan Presiden & Timbalan Presiden yang ditolak EGM lepas!

Apa sudah jadi dengan MCA ini? Mana kelibat PM dan TPM? Hendak tunggu MCA diharamkan ke baru nak masuk campur? Ini bukan masalah keluarga MCA sahaja sebab dan merebak ke parlimen.

Sidang media di dewan rakyat dijadikan pentas melempias perasaan dan emosional pemimpin MCA yang bertelagah. Ia perlu dihentikan SEGERA!!

Najib dan Muhyiddin sila ambil perhatian. Jangan nanti ada Ahli Parlimen MCA yang kecewa dan melompat ke DAP baru nak tergadah!

Masalah semakin kronik bila mana saya melihat sudah ada dua kelompok dalam kabinet kerajaan BN! YB Liow selaku Menteri Kesihatan disokong oleh Dr Wee Ka Siong (Timb Menteri Pelajaran), Senator Chew Mei Fun (Timb. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), dan 6 ahli parlimen termasuk Ong Ka Chuan (Mantan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

Manakala sidang akhbar Chua disertai oleh Menteri Perlancongan, Dr. Ng Yen Yen dan beberapa lagi anggota MP MCA.

Ramai penyokong BN termasuk saya sangat kecewa dengan respon yang sangat pasif daripada kedua-dua pucuk pimpinan BN. Najib kata,beliau akan hanya campur tangan sekiranya dijemput secara rasmi. Muhyiddin pula berpendapat masalah MCA adalah masalah dalaman dan tidak perlu campur tangan.

Najib ingat masalah MCA ini seperti menghadiri majlis yang penuh protokol. Perlu ada jemputan dan tentatif. Ini masalah BN dan Kerajaan Pusat. Lihat sekarang masalah yang dikatakan masalah dalaman MCA sudah meleret ke parlimen dan berjangkit kepada anggota kabinet kerajaan pulak!

Nampaknya disini, idea yang dilontarkan oleh satu pihak pasti tidak akan disokong oleh pihak yang satu lagi dan keadaan ini juga berlaku sebaliknya. Maka perlu ada satu pihak yang neutral dan tidak memihak kepada mana - mana pihak bertindak dan memberi kata putus muktamad dan mandatori! Orang itu tidak lain dan tidak bukan adalah Pengerusi BN ataupun Timbalan Pengerusi BN!

Jangan nanti episod UMNO 1988 berulang kepada MCA. Kelak BN dan UMNO sendiri yang akan menanggung bahananya ekoran sikap berkecuali dan tidak masuk campur ini memakan diri sendiri!

12 November 2009

Bila 3 Presiden Serentak Datang Bertandang!


Latarbelakang merupakan Jambatan Nanpu di Wilayah Shenzen China. Jika di bina di Kuala Lumpur, pasti kesesakan berjaya di atasi.

Hebat betul aura 1Malaysia Dato' Seri Hj. Mohd. Najib Bin Tun Hj. Abd. Razak ini! 3 orang Presiden datang dalam selang waktu yang dekat! Wow!

Seingat saya belum pernah kita menerima delegasi daripada 3 negara serentak melainkan sekiranya Malaysia menjadi hos kepada pertubuhan antara negara misalnya APEC, G-15, ASEAN dan CHOGM. Ini satu yang jarang - jarang berlaku!

Ini mungkin di anggap satu kredit kepada Wisma Putra yang berjaya membawa ketiga - tiga Presiden tersebut ke negara kita. Nama dan dari negara mana, semua sudah sedia maklum.

Walaubagaimanapun, kejayaan sesuatu rombongan negara asing bukan bergantung kepada bilangan yang hadir ataupun liputan berita yang diterima tetapi daripada segi 'output' yang diperolehi hasil perjumpaan tersebut.

Bagi pendapat saya seorang insan yang biasa ini, lebih molek sekiranya jadual kedatangan pemimpin - pemimpin ini tidak terlalu dekat. Bukan niat hendak menghalang kedatangan mereka tetapi lebih praktikal dan efektif pertemuan di adakan antara dua buah negara dalam keadaan kondusif tanpa perlu memikirkan hendak melayan pemimpin negara lain.

Kita sebagai tuan rumah berhak mengatur kedatangan tetamu negara tetapi perlulah dalam keadaan yang penuh harmonis supaya komitmen layanan kepada tetamu negara ini 100%!

Lihat misalnya kehadiran Dr. Haris Siladjzic (salah seorang Presiden Bosnia dan Herzegovina) ke Malaysia dan termeterai MoU hanya disaksikan oleh mantan PM, Tun Dr. Hj. Mahathir bin Mohamad dan Kerajaan Negeri Sarawak. Walaupun MoU itu khusus di antara Bosnia dan Sarawak tetapi kepimpinan tertinggi negara perlulah hadir sekali bagi menunjukkan keseriusan dalam perkara tersebut.

Ketua Negara, Duli YMM Tuanku Mizan al-Haj menyambut kedatangan 2 Presiden dalam masa selang sehari. Istiadat di Istana Negara juga berlangsung 2 hari berturut - turut. Walaupun tidak salah tetapi keadaan tersebut tidak sesuai.

Wisma Putra perlu lebih peka dalam perkara ini semoga tidak berulang dalam masa yang akan datang.

Lebih molek sekiranya selang masa antara kedatangan delegasi luar negara terutama yang diketuai oleh Ketua Negara/ Ketua Kerajaan adalah lebih kurang 2 - 3 minggu kerana untuk menyusun jadual yang lebih sistematik dan tidak akan berlakunya ralat dalam tentatif yang disediakan.

Walaubagaimanpun tahniah kerana kehadiran ketiga - tiga pemimpin ini telah membuka dimensi baru dalam perhubungan Malaysia dengan negara luar yang sedikit malap sejak 6 tahun lepas....

p/s : - Dato Anifah Aman, perlu giatkan lagi usaha untuk bawa nama Malaysia di persada antarabangsa. Dahulu merajuk tak dapat jawatan menteri daripada Kerajaan Islam Hadhari. Pak Lah bagi timbalan menteri sahaja. Sekarang dah dapat menteri penuh, 'top 5' lagi tu, jadi buatlah yang TERBAIK! Jangan nanti dipangkah di dalam blog seperti yang kena pada Dato Hisham, Menteri Amaran dan Nasihat Malaysia. hehe..!!

Krisis Zul4Kulim & Siva : Telahan Saya Tepat!


Babak drama terbaru arahan Anwar dan dilakonkan oleh dua orang Ahli Parlimen PKR dari Kulim Bandar Baharu dan Subang seperti telah dijangka kesudahannya.

Akhbar portal 'online' MStar bertajuk Zulkifli Noordin Anggap Pertelegahan Dengan Sivarasa Selesai. Tidak sampai tempoh 24 jam yang diberi untuk mencabar Sivarasa letak jawatan, Zulkifli telah menarik diri dan anggap telah 'tutup buku'. Inilah pejuang Islam yang dibanggakan oleh sesetangah blogger termasuk yang pro-kerajaan!

Maka benarlah telahan saya (tulisan artikel PKR : Anwar, Zul4kulim & 'Hidden Agenda') bahawa Zulkifli akan hilang amarah kepada Siva selepas di'tepuk belakang' oleh bossnya Anwar Ibrahim. Ini adalah permainan oleh PKR untuk menimbulkan sentimen simpati kepada Zulkifli dan nampaknya ada blogger pro BN yang terjerat!

Saya bukan bersikap terlampau pesimis dan terlalu kritikal kepada YB Kulim / Bandar Baharu ini, cuma berpandukan kepada beberapa episod dan babak yang pernah dimainkan oleh Zulkifli ini.

Ingat lagi bagaimana gila publisiti beliau menunggang basikal menuju ke Parlimen bersama Tian ' I Smashed Your Head' Chua dan Gobala tahun lalu? Sedangkan beliau ada motorsikal berkuasa besar? Ini cuma menarik minat rakyat.

Masih ingat lagi bagaimana peranan beliau dalam isu Forum Memeluk Islam anjuran Majlis Peguam Malaysia? Selepas ada rungutan daripada rakan pakatan dalam PKR sendiri dan DAP, beliau terus menikus.

Mungkin jauh disudut hatinya, perjuangan kepada Islam masih ada tetapi sejauh mana konsistennya dan istiqamah dalam perjuangan itu terus menjadi tanda tanya.

Kenapa tidak menunggu sehingga tempoh 24 jam itu berakhir (cabaran kepada Siva untuk letak jawatan)? Adakah beliau sudah mengalah disebabkan hanya beliau seorang kelompok ke-3 dalam PKR? Tidak mendapat sokongan dan dukungan yang kuat dalam parti walaupun diluar ini banyak pihak menyokong beliau?

Zulkifli telah terjerat dek kerana dendam yang sangat dalam kepada BN dan UMNO maka teras perjuangan Islamiknya terpaksa dikorbankan.

Kalau dilihat melalui artikel dan siri ceramahnya, begitu kuat penolakan dan sikap menghina beliau kepada UMNO dan BN. Tidak tahulah kalau kerajaan BN ada membuat onar kepada kehidupan beliau dan keluarga. Saya lihat beliau bebas bermotorsikal besar ke hulu kehilir. Entahlah apa yang dibenci sangat kepada BN pun saya tak tahu. Allah dan beliau sahaja yang tahu..!

Dengan kenyataan Zulkifli tersebut jelas menunjukkan bahawa dalam kes ini Sivarasa yang telah menang. Saya bukan ingin melaga - lagakan pemimpin PKR tersebut sepertimana mereka cipta untuk melaga - lagakan pemimpin UMNO, tetapi atas konsep pendirian dan integriti!

Saya melihat Zulkifli boleh menjadi wakil rakyat yang progresif dan prihatin. Ada kredibiliti dan ada kesungguhan. Tetapi masih tidak kuat akar perjuangannya. Sering kali 'tunduk' dan bersikap mengangkat bendera putih dahulu. Kerana beliau terikat dengan perjanjian bersama 'sesumpah'. Maka beliau secara automatik boleh digelar 'anak - anak sesumpah', berubah mengikut keadaan dan masa.

Polemik Zulkifli ini adalah aturan Anwar. Anwar telah mula belajar daripada kekhilafannya. Mungkin atas nasihat dan petua semasa berkelana ke Amerika Syarikat sejak dua menjak ini! Bijak Anwar menggerakkan bidak - bidak dalam percaturan politiknya sehinggakan blogger pro BN pun terkesima dengan penangan Zul4kulim ini!

11 November 2009

Sekeping Gambar Menceritakan 1000 Kisah !


Menjadi perdebatan hangat di antara pro dan anti Anwar. Benarkah Anwar ini talibarut Amerika Syarikat? Atau ia sengaja digembar gemburkan oleh musuh politiknya terutama UMNO?

Tetapi banyak pihak tidak dapat menafikan bahawa terjalin suatu hubungan mesra antara Anwar (bukan mewakili kerajaan Malaysia) dengan Pejabat Setiausaha Amerika Syarikat.

Dua makhluk yang dibulatkan gambar di atas tidak perlu diperkenalkan lagi. Gambar - gambar di atas pun banyak terdapat di ruang siber dan makalah.

Justeru satu persoalan perlu dilontarkan kepada pendokong Anwar. Apa hubungan Anwar dengan Amerika Syarikat?

Apa peranan yang diminta oleh 'sahabatnya' itu di Malaysia dan rantau Timur Jauh ini? Bagaimana beliau dilantik menjadi Pengerusi satu NGO dibawah pembiayaan Pejabat Setiausaha Dalam Negeri Amerika Syarikat iaitu Foundations For The Future (telah meletak jawatan pada Julai 2006).

Anwar dijadikan proksi oleh Amerika Syarikat di Rantau Timur Jauh ini untuk menjayakan agenda yang tersimpan rapi di kotak fikiran Anwar.

Kesian Pas, diperLEMBUkan oleh barua Amerika Syarikat. Nak dibawa ke Amerika (untuk turut serta dalam rombongan Anwar) pun tidak pernah diajak. Kata rakan pakatan.. Tapi kalau dapat tiket melancong atau umrah/haji percuma, mesti nak pergi. Maklumlah hadiah orang. Hadiah tidak rasuah bak kata Tok Guru MB Kelantan... hehehe

PKR : Anwar, Zul4Kulim dan 'Hidden Agenda'


Konflik dan isu politik di negara Malaysia seakan tidak berkesudahan. Ada sahaja isu baru timbul tiap hari. Sama ada ia positif atau memberi lebih banyak implikasi negatif, terpulang kepada individu untuk menilainya.

Apa yang tertarik sejak kebelakangan ini, api dalam sekam di dalam Pas dan PKR sudah menjulang naik. Ribut dalam cawan sudah melimpah keluar.

Pas pening dengan masalah 'anak - anak sesumpah' dan masalah baiah. PKR pula dengan pertentangan idealogi sesama ahli juga angkara 'bapa sesumpah'!

Siapa kata UMNO tidak ada masalah? UMNO juga mengalami masalah terutama dalam mengendalikan kerenah parti kompenan dalam BN tetapi lensa kamera dan alat perakam suara sekarang ini tertuju kepada dua parti penyanggah pimpinan orang Melayu iaitu PKR dan Pas.

Isu Pas dan baiahnya bukan merupakan isu baru. Semasa di dalam kampus dahulu, saya juga mendapat maklum daripada rakan dalam blok anti-establisment (pro pembangkang), mereka juga melafazkan baiah di depan Amir mereka dan disaksikan oleh Pemuda dan Muslimah Pas! Jadi saya tidak hairan perkara itu juga berlaku pada Pas.

Apa yang lebih menarik adalah perkembangan di dalam parti multi-bangsa, PKR. Konflik dalam parti tidak dapat lagi ditutup oleh Ketua Umumnya, Dato' Seri Anwar Bin Hj Ibrahim. Mungkin telah terdetik jauh dalam sudut hatinya bahawa dia telah melakukan banyak kekhilafan dalam percaturan politiknya.

Dengan isu tidak sebulunya pemimpin - pemimpin di dalam parti itu sedikit sebanyak telah mencabar kredibilitinya sebagai 'next Prime Minister' sepertimana yang sibuk dicanang merata tempat.

Pertelingkahan terbuka antara Zulkifli Nordin dan Sivarasa Rasiah mencerminkan bahawa terdapat kelompok pemimpin di dalam parti itu yang dipinggirkan suaranya atau lebih mudah dikatakan, pimpinan tertinggi bersikap 'double standard'! Ada pemimpin yang dilebihkan, ada pemimpin yang diketepikan. Ia tidak boleh dinafikan lagi!

YB Kulim/Bandar Baharu yang konsisten dalam gerak tempo perjuangan Islamisnya bertembung idealogi dengan pimpinan parti yang sangat radikal dan kritikal kepada Islam. Ia dipimpin oleh Naib Presidennya sendiri Sivarasa Rasiah (MP Subang) dan pimpinan non-muslim PKR seperti Gobalakrisnan (MP Padang Serai), Elizabeth Wong (DUN Bukit Lanjan).

Jika Pas terbahagi dua kepada golongan ulama' dan profesional (dahulu) dan kini golongan Presiden dan Erdogan, PKR juga tidak terkecuali.

PKR terbahagi kepada dua kelompok iaitu golongan liberal - moderate dan golongan radikal / kritikal. Manakala Zulkifi Nordin yang membawa pendekatan Islamik adalah kelompok ke-3! Di dalam PKR cuma beliau sahaja menunjukkan kesungguhan di dalam perjuangan Islamik manakala lain - lain pemimpin Melayu dalam PKR lebih kepada liberal - moderate.

Walaupun terdapat 7 Ahli Parlimen PKR (seperti Kamarul Baharin - Teluk Kemang dan Wee Ka Siong - Wangsa Maju) yang menyatakan sokongan kepada Zulkifli dalam isunya dengan Sivarasa, ia hanya sokongan golongan liberal dalam menentang fahaman radikal yang menjadi seteru mereka di dalam parti! Tidak lebih dari itu!

Zulkifli sudah boleh berkira - kira untuk tinggalkan parti yang sangat goyah pendiriannya itu. Saya pernah menghantar komen ke blog beliau Zul4kulim.blogspot semasa isu kepala lembu dan kuil. Saya bertanya apa pendirian parti dalam isu ini. Kenapa Khalid Ibrahim bertindak seolah-olah ada orang lain menjadi MB di Selangor. Apa teras perjuangan PKR dan kenapa beliau tidak mengulas isu moral DSAI? Tetapi beliau tidak menyiarkan komen saya tersebut.

Nampak, beliau seolah -olah terjerat kini. Atas dendam kesumat dan kebencian melampau beliau kepada UMNO dan BN telah menyebabkan maruah dan kredibiliti beliau semakin dipertikaikan. Lantas beberapa isu ini dijadikan batu loncatan untuk menunjukkan kepada umum bahawa Zul4kulim ada pendirian sendiri. Tetapi bagi saya ia cuma retorik YB ini!

Saya percaya dan yakin, setelah dipujuk dan ditepuk belakang bahu oleh Anwar kelak, maka redalah amarah beliau kepada Siva (penggerak utama IFC).

Adakah beliau alpa bahawa parti yang didokongnya selama ini terdapat malaun-malaun yang cuba menyamaratakan agama Islam di bumi Malaysia ini dengan agama lain. Dengan kata lain menghina Islam dan melanggar Perlembagaan Negara?

Tidak guna hanya beliau keseorangan berkokok berjuang tetapi ramai lagi rakan yang diam untuk menyelamatkan perut masing -masing. Keluar dan mufarakah dari PKR.

Agenda Tersembunyi Golongan Radikal PKR
Dalam memerhatikan gelagat malaun - malaun puak radikal dalam PKR seperti Siva dan Gobala, terdetik perasaan geram dan meluat. Lakonan semasa siri pilihanraya kecil dan percakapan di dalam parlimen menunjukkan mereka ini sudah melampau.

Anwar Ibrahim sedang diperalatkan oleh mereka. Siapa disebalik gerakan ini? Kalau kita perhatikan bahawa Majlis Peguam seringkali bertindak menjadi jurubicara parti pembangkang. Semasa pilihanraya Penanti hari itu pun mereka bertindak mempertikaikan Rohaizat. Kenapa hanya dikemukakan semasa pilihanraya tidak waktu lain? Mesti ada agenda yang tersendiri. Mereka mengharapkan konsep 'give and take'.!

Mereka telah membantu pakatan pembangkang. Sekarang mereka menuntut pula habuan mereka. Tidak lain adalah untuk mewujudkan IFC (Inter Religous Council) untuk menidakkan Islam sebagai agama rasmi Malaysia. Mereka mahu mengawal institusi perundangan sehinggakan mereka boleh memanipulasi sistem kehakiman mengikut acuan mereka. Inilah tuntutan mereka! Kelak ramai orang Melayu akan dihadapkan ke mahkamah dan dipenjarakan ekoran menentang penyamarataan agama.

Pas masih kekal dalam retoriknya. Masih enak dibuai mimpi Negara Berkebajikan yang dicanang sambil disorongkan bantal oleh DAP dan diberikan punting susu oleh PKR.

Arus gelombang menolak Islam sebagai agama rasmi Malaysia semakin kuat di dasar sana. Menolak Islam bererti menidakkan kuasa Raja-Raja Melayu. Kelak Malaysia menjadi negara republik yang dipimpin oleh Presiden! Ingat, Perlembagaan bila - bila masa boleh dipinda lebih - lebih lagi pengubal (pengamal undang - undang) terdiri daripada Majlis Peguam yang kita tahu apa 'hidden agenda' nya!!

10 November 2009

Kemelut MCA : Dimana Pengerusi BN?


Krisis MCA sudah semakin meleret. Seakan tidak jumpa titik noktah penyelesaian. Masing - masing ada rasional tersendiri.

Apa yang saya lihat disini, kata - kata orang No.1 MCA tidak lagi dihormati, tidak lagi didengar sama seperti terjadi kepada Tok Guru Presiden Pas, Hadi Awang!

Bagi seorang pemimpin politik sejati, sekiranya tidak ada lagi pengaruh dan cengkaman di dalam suara majoriti akar umbi, maka secara terhormat akan mengundurkan diri. Tetapi tidak bagi Ong Tee Keat ini. Ia melihat kerusi Presiden MCA khusus untuknya kini sehingga sanggup menjilat ludahnya kembali dengan menerima seterunya Chua Soi Lek dan mengkhianati anak buah yang setia Liow Tiong Lai.

Permainan dan polemik yang berterusan ini akan terus melemahkan parti ke-2 paling besar dalam BN ini. Penyelesaiannya kini tidak boleh diharapkan datang daripada MCA tetapi daripada ketua keluarga BN itu sendiri iaitu Pengerusi BN!

Saya pernah menyentuh mengenai peranan penting yang perlu dimainkan oleh Najib selaku Pengerusi BN (bukan Presiden UMNO) dalam menyelesaikan kemelut ini. Nampaknya Dato Hisham (Menteri Amaran dan Nasihat Negara) dan Wee Ka Siong (Tim. Menteri Pelajaran) sudah memohon 'talian hayat' daripada Najib untuk selesaikan segera kes ini.

PM 1Malaysia ini perlu buang terus sikap 'play safe' yang dijadikan pedoman sejak  menceburi politik kepartian ini. Dato' Seri Najib perlu menjadi 'playmaker' dan penggerak utama di dalam mencari titik muktamad sengketa ini.

Saya sangat kecewa apabila mendengar ucapan PM 1Malaysia ini yang menafikan sebarang ideanya dalam pembentukan pelan perpaduan MCA. Dimana letaknya kuasa dan pengaruh Najib selaku Pengerusi BN?

Sikap berkecuali dan tidak masuk campur ini akan memakan diri Barisan Nasional! Kaum Tionghua sedang menilai kembali sokongan mereka sama ada kekal untuk DAP ataupun kembali ke MCA atas kebijaksanaan Najib mengendalikan kerenah parti MCA ini.

Sekiranya Najib bijak mencari penyelesaian, maka undi kaum Cina mungkin akan kembali ke BN tetapi sekiranya Najib gagal, maka akan semakin jauh sokongan kaum ini kepada BN.

Najib selaku Pengerusi BN BERHAK untuk mencampuri urusan MCA. Kunci penyelesaian ada di tangan Najib. Kuasa pemutus keputusan juga berada di dalam genggaman PM 1Malaysia ini. Gunakan sekarang sebelum keadaan lebih mudarat! Tanpa kompromi! Tanpa toleransi! Perlu tegas! Perlu Tangkas!