Umum mengetahui bahawa setiap tahun akan di adakan piliharaya kampus di semua Universiti Awam di Malaysia untuk memilih barisan kepimpinan pelajar yang baru.
Seringkali kita mengabaikan perjalanan demokrasi kampus ini kerana kita fikir ini politik budak-budak tetapi kita harus ingat, bahawa disinilah lubuk untuk kelahiran pemimpin generasi baru dan wajah baru pengundi di peringkat nasional kelak!
Bagi sesiapa yang pernah terlibat secara langsung dengan politik kampus ini akan menyatakan bahawa disinilah tempat untuk kita melatih diri untuk menjadi pemimpin di masa hadapan. Bukan sahaja menjadi pemimpin politik tetapi juga di alam kerjaya mahupun pemimpin setempat/masyarakat.
Dan disini jugalah tempat parti - parti politik mencari bakat baru untuk dikaderkan menjadi jentera kempen, agen, peraih undi dan tukang provokasi.
Sepanjang 4 tahun saya terlibat di dalam politik kampus di UKM, melihat potensi besar kepimpinan belia ini tidak digunakan sebaik mungkin oleh UMNO dan kerajaan amnya.
Acap kali bakat kepimpinan yang ideal terlebih dahulu 'dicuri' oleh Pas untuk direkrut menjadi proksi mereka di kampus.
Saya juga hampir terjebak ketika di tahun pertama tetapi mujurlah pendirian saya berkenaan parti politik telah disetkan terlebih dahulu sebelum memasuki gerbang ilmu di Bangi tersebut.
Mahasiswa perlu akur bahawa hadirnya mereka di menara gading adalah untuk menimba ilmu dan mengenggam segulung ijazah tetapi perlu diingatkan ijazah bukan tiket tunggal menjadi modal insan yang berjaya.
Pembinaan karakter dan mempunyai hubungan sosial yang baik juga perlu dibina di dalam diri. Maka keterlibatan di dalam politik kampus sedikit sebanyak membina nilai dalam diri.
Kenapa Pas (dan sekarang PKR juga) beria - ia sangat untuk turut serta di dalam politik kampus, tetapi tidak bagi UMNO?
Pas melihat bahawa campurtangan dan penglibatan mereka di dalam politik kampus akan menjadikan generasi baru pengundi ini sebagai fix deposit mereka pada pilihanraya umum akan datang!
Secara matematiknya setiap tahun akan lahir 50,000 orang graduan daripada IPT ini dan semestinya had umur mereka melepasi had umur minimum pengundi yang ditetapkan oleh SPR iaitu 21 tahun.
Mana yang kita lebih percaya, kempen seorang mat rempit yang memakai baju Putera UMNO dengan gaya selekah dan menghisap rokok dengan seorang budak lepasan universiti yang berkempen untuk pembangkang dengan lagak kemas? Sudah mesti cakap budak universiti tu lebih dipercayai walaupun isinya lebih banyak bahalul daripada betul!
Dek kerana itulah mereka sangat peka dan bersungguh di dalam politik kampus ini. Secara jelas kita dapat melihat hierarki kepimpinan mereka juga ada yang datangnya daripada pemimpin kampus dahulu.
Saya ambil contoh kepimpinan kampus di UKM, Ustaz Idris Ahmad Ketua Penerangan Pas Pusat adalah mantan YDP PMUKM Sesi 87/88. Dr' Lo' Lo' Ghazali (Ahli Parlimen Titiwangsa) merupakan bekas Naib YDP PMUKM. Mustafa Kamil Ayub, Naib Presiden PKR merupakan YDP PMUKM Sesi 84/85. Abdullah Abdul Karim, Exco Pemuda Pas Pusat, mantan PMUKM Sesi 2001/2002.
Tidak dinafikan terdapat juga nama - nama besar tokoh pelajar yang menjadi pemimpin poltik UMNO seperti Dato' Razali Ibrahim (mantan YDP PMUKM 91/92, Dato' Fuad Hassan (mantan YDP PMUKM 76/77, Dato' Rahman Bakar, bekas Timb Menteri Sumber Manusia (mantan TYDP PMUKM 80/81) dan Dato' Rais Zainuddin, bekas exco Kerajaan N.Sembilan (mantan YDP PMUKM 80/81), tetapi kesinambungan kepimpinan itu tidak ada.
Yang hanya kekal ketika ini adalah Dato' Razali Ibrahim itupun hanya menempatkan diri di persada politik nasional selepas usia menjangkau 40 tahun. Yang lain entah ke mana!
Tidak seperti Pas dan PKR. Setiap tahun akan lahir kepimpinan muda yang keluar daripada universiti. Sistem perkaderan dan rekrut yang di amalkan oleh mereka juga nampak lebih tersusun dan sistematik sehinggakan sukar untuk dikesan.
Sistem perkaderan yang berselindung disebalik kegiatan usrah dan aktiviti ko-kurikulum sukar untuk diambil tindakan dibawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kerana modus operandinya sangat licik dan kelembapan bahagian HEP universiti bertindak.
Bagi UMNO pula lebih suka tidak mahu campurtangan secara langsung mungkin kerana khuatir disebarkan dan dihebahkan oleh media pembangkang. Berlainan pula dengan Pas, mereka langsung tidak menghiraukan dan gentar dengan pendedahan yang bakal mereka terima sekiranya kegiatan mereka telah bocor oleh media kerajaan.
Pemuda UMNO dengan lagak sombong dan elitnya dan Puteri dengan lagak cunnya masih sibuk dengan hal entah apa-apanya sedangkan Pemuda dan Muslimat Pas serta AMK PKR sedang aktif meracuni pemikiran pelajar kampus!
Secara psikologinya, UMNO kalah dengan Pas secara total!
Tahun ini pilihanraya kampus datang lagi. Berita tentang kemenangan calon pemimpin pelajar pro-pembangkang yang melabelkan diri sebagai Pro-Mahasiswa (Pro-M) di Universiti Malaysia Terengganu yang didedahkan oleh blog Anwaribrahim dan media alternatif milik pembangkang yang lain sangat merisaukan saya.
Sebelum ini budak - budak pro-pembangkang tidak ada kekuatan di IPTA - IPTA yang baru dan hanya gah di universiti klasik seperti UM,UKM,UPM,USM,UTM dan UIA sahaja. Berita ini menjadi isyarat jelas bahawa pengaruh Pas dan PKR (juga DAP melalui DEMMA) mula masuk di universiti awam yang baru!
Minggu hadapan akan berlangsungnya piliharaya kampus di 6 buah IPTA lain termasuk UM,UKM dan UPM.
Kerajaan perlu memandang serius tentang perkembangan dan pola pilihanraya kampus kali ini. Tetapi amat malang, Kementerian Pengajian Tinggi yang dipimpin oleh seorang menteri yang mencebik dan mencemuh usaha pelajar pro kerajaan (seperti artikel saya tahun lepas), dikuasai oleh mereka yang pro-PKR dan pro-Pas!
Maka kita akan tunggulah lahirnya lagi pegawai - pegawai PTD dan agensi kerajaan lain yang datang daripada kepimpinan pro-pembangkang di pejabat - pejabat kerajaan kelak. Nak tapis masa temuduga, SPA tidak ada sistem yang boleh semak sama ada dia tu ok ke atau alat Pas/PKR masa belajar dahulu.
Jadilah seperti sekarang, pejabat kerajaan melambak pegawai yang pro-pembangkang. Maka tidak hairanlah kalau rahsia kerajaan (seperti perbelanjaan & pengurusan) terlepas ke pihak di sebelah sana!
Jangan salahkan ibu mengandung tetapi salahkan PM 1Malaysia yang salah pilih menteri!
***************************
*PMUKM adalah singkatan bagi Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia. Ditubuhkan sejak tahun 1970 dan dipilih melalui pilihanraya kampus.
3 ulasan:
SOKONG BRO!..AL JUBURI PUN PRODUK DARI UNIVERSITI GAK. KLU UMNO TAK AMIK KISAH THEN AKU X BLEY NAK CKP APE LAA. DIORANG SENDRI MAU INGAT BEB. HUHUHU
Umno memang bodoh..bodoh sangat2..PKR dan PAS dok jaga budak2 dengan baik,UMNO sibuk dengan kroni,tender..kita dah nak berjuang untuk kerajaan tapi depa buat x nampak jer..sampai dah meluat aku..
Apa salahnya kita mendidik mahasiswa kita ni berpolitik secara adil dan telus. jangan dicampuri mereka kerana bagi saya sekiranya seseorang yang berumur 18 tahun dah boleh diberi hak untuk menentukan agama mereka, adakah dalam konteks memilih parti politik tidak wajar pula? sebagai cadangan semata2 untuk difikir bersama
http://www.myspacemoney.my/banie
Catat Ulasan