Kini kecoh perang slogan antara pro kerajaan dan pro pembangkang. Masing - masing menuduh pihak lawan untuk dikaitkan dengan Israel. Memang menjadi budaya Melayu, jika nak burukkan orang mesti dirujuk kepada entiti atau kelompok orang lain yang berwatak antagonis.
Jika zaman Perang Balkan awal 90-an dahulu, gelaran 'jahat macam orang Serb' sangat sinonim untuk digambarkan kepada musuh atau lawan. Walhal bukan semua orang berbangsa Serb itu jahat macam Radovan Karadzic. Tetapi itulah perangai Melayu yang suka menjadikan seseorang itu sebagai rujukan untuk menggambarkan perihal orang lain!
Bangsa Melayu sangat alergi dengan bangsa Yahudi dan negara haram Israel. Sejak penubuhannya pada tahun 1948 hingga kini, Israel memang ditolak mentah - mentah oleh bangsa Melayu dan negara Malaysia.
Ia dimanifestasi dengan sokongan tidak berbelah bagi Malaysia dalam menyokong pembentukan negara bangsa Palestin yang berdaulat. Sehinggakan Israel diharamkan untuk membuka kedutaan mahupun pejabat konsulat di Malaysia!
Oleh itu Israel dan bangsa Yahudi ini akan sentiasa dicop sebagai orang yang tidak boleh dipercayai dan berbahaya! Apa - apa yang dikaitkan dengan Israel akan dicop sebagai penderhakaan kepada umat Islam di Palestin!
Anehnya, orang Melayu kita ini terlampau mengikut perasaan dan emosi sehinggakan persamaan motto pun dijadikan bahan untuk ber ' perang politik'!
Ia dimulakan dengan lagak pembangkang yang menyatakan konsep perpaduan dan pembinaan negara-bangsa 1Malaysia di samakan dengan One Israel ! Sedangkan kedua - dua perkara tersebut berbeza daripada segi dasar dan kaedah perlaksanaan (method of implementation)!
1Malaysia ialah secara dasarnya adalah konsep untuk menyatupadukan rakyat Malaysia dan menyaksamakan (bukan menyamaratakan) hak rakyat dalam negara manakala One Israel hanyalah perkongsian kuasa oleh tiga parti di Israel (Parti Buruh, Gesher dan Meimad) untuk berhadapan dengan Parti Likud yang sedang memerintah Israel pada tahun 1999.
One Israel lebih tepat disamakan dengan konsep perkongsian kuasa oleh Pakatan Rakyat (PR) di Malaysia ini kerana konsesus politik hanya dijana ketika berlakunya pilihanraya bukannya sepanjang masa seperti Barisan Nasional (BN)!
1Malaysia menyasarkan untuk mencapai matlamatnya dalam jangka masa panjang dan ia bukannya bermusim. Ia juga dijayakan dengan mekanisme yang menyeluruh. Manakala One Israel lebih kepada konsep untuk menjadi alternatif untuk rakyat Israel kepada parti pemerintah sedia ada (juga ciri yang sama dengan Pakatan Rakyat)!
Jelas disini tiada langsung persamaan antara 1Malaysia dengan One Israel ! Jauh panggang dari api!
Manakala slogan Pas yang baru iaitu Pas For All yang telah melenyapkan slogan asal mereka iaitu 'Membangun Bersama Islam' turut disamakan dengan entiti Israel iaitu Israel4all.
Slogan Pas For All yang dilancarkan 11 September 2007 adalah bertujuan untuk menarik sokongan semua pihak termasuk non-muslim dalam menyokong perjuangan mereka. Ia diterjemahkan dengan penubuhan Kelab Penyokong Pas (KPP) yang dikhususkan untuk ahli bukan Islam.
Manakala Israel 4 all ini adalah satu syarikat perlancongan terutama kepada OKU seperti Karpal Singh untuk melawat Israel. Ia bukanlah agenda politik tetapi lebih kepada perkhidmatan perlancongan. Tidak ada kena mengena dengan agenda mengISRAELkan orang sepertimana yang dibuat untuk mengePASkan orang!
Jadi kedua - dua slogan sama ada 1Malaysia ataupun Pas For All tidak ada kena mengena dengan Israel dan tidak harus dipolemikkan sedemikan rupa. Kasihan saya melihat rentas fikiran yang dangkal dan paras pemikiran yang cetek orang - orang kita ini. Semuanya yang ada persamaan walaupun tidak serupa denga Israel pasti dijadikan bahan untuk berpolemik! Huh!!
Biarlah masing - masing dengan propaganda mereka. Usah dipertikai atau diperlecehkan. Masing - masing ada sebab konkrit untuk mengetengahkan idea dan propaganda mereka tersebut. Yang penting, implementasi dan implikasi idea tersebut kepada rakyat.
Kita tidak perlu slogan yang hebat laksana kayangan seperti 'Harapan Baru Rakyat Malaysia' ataupun Middle Malaysia tetapi kaedah perlaksanaan dan kesannya masih samar - samar!
Ibarat melihat baju yang sangat cantik di dalam kotak kaca pameran tetapi tidak mampu dipakai kerana ia hanya ilustrasi untuk tujuan komersial. Biarlah baju itu dilonggok - longgok asalkan boleh dicapai dan dipakai, itu lebih baik dan berbaloi kerana majoriti rakyat bukan berasal daripada golongan bangsawan tetapi bawahan!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan