18 November 2009

Bila Menteri Pengangkutan Sibuk Berpolitik, Wang Rakyat Dicuri !


27 Julai 2009, Perdana Menteri 1Malaysia mengumumkan penilaian penunjuk prestasi (KPI) dan 6 subsektor Bidang Keberhasilan Utama Negara (National Key Results Area - NKRA)

Saya ingin menyentuh NKRA ke-6 iaitu Menambahbaik Sistem Pengangkutan Awam yang di ketuai oleh Dato' Seri Ong Tee Keat, Menteri Pengangkutan merangkap Presiden MCA (suara minoriti).

Selepas hampir 4 bulan, masih belum ditunjukkan sebarang petanda NKRA ini dapat dicapai. Cuma pada 15 Oktober 2009 Menteri Pengangkutan ada menggariskan beberapa langkah untuk menambahbaik sistem pengangkutan awam ini.

Antaranya ialah pembelian 10 set Electric Multiple Unit (EMU) dengan harga RM 200 juta untuk menampung kapasiti pengguna komuter di Lembah Klang, cadangan untuk penambahan 10 unit baru LRT untuk laluan Kelana Jaya (kawasan Parlimen beliau) dan 4 unit Electric Trains Seats (ETS) akan dibeli untuk kegunaan komuter Ipoh - Rawang yang akan dibuka kelak.

Ada juga perancangan jangka panjang iaitu pada tahun 2012, laluan LRT Kelana Jaya akan siap disambung sehingga Putra Heights melalui Subang Jaya dan laluan LRT Sri Petaling akan juga disambung ke Putra Heights melalui Puchong. Secara lateralnya, ia nampak cukup molek dan mampu mengatasi masalah pengguna dan mencapai sasaran pengguna perkhidmatan awam 25% menjelang 2012.

Daripada satu segi lagi, perancangan dan penilaian yang dibuat oleh Kementerian Pengangkutan ini memerlukan sejumlah dana yang cukup besar.

Bayangkan sahaja untuk membeli 1 set EMU berharga RM 20 juta. Ini tidak termasuk alat ganti dan penyenggaraan selepas pembelian. Untuk 1 set DMU terpakai berusia 20 tahun pun harganya RM 7 juta. Penyenggaraan pasti lebih kerap maklumlah beli barangan terpakai!

Jika ingin membuat laluan baru LRT yang semestinya melibatkan pembinaan superstructure seperti flyover dan jambatan, perlu memakan belanja berbillion - billion ringgit!

PLEB - Antara Kepentingan Awam dan Periuk Nasi Pemimpin Politik!
Projek Landasan Elektrik Berkembar (PLEB) antara Ipoh dan Padang Besar sejauh 329km pula memakan belanja RM 12.5 Billion! Sedangkan harga asal semasa rundingan pertama dahulu (Kerajaan Wawasan) hanya RM 8 Billion sahaja. Ia mungkin tindakan flip-flop paling tidak cerdik (bahasa mudah - bodoh) yang diambil oleh Kerajaan Islam Hadhari dahulu. Tambahan RM 4.5 billion lagi dana awam perlu digunakan selepas rundingan harga ke-2.

Harus diingat, RM 12.5 billion ini hanya harga kontrak tidak termasuk bayaran pampasan tanah kepada pemilik yang terlibat dan bayaran ex-gratia kepada setinggan dan kilang (termasuk kilang haram!).

Seorang sahabat saya yang merupakan bekas kakitangan Syarikat MMC - Gamuda JV ini memaklumkan kepada saya bahawa kos bersih termasuk raw material, workmanship dan overhead cost projek ini tidak lebih daripada RM7 billion (ini pengiraan pada harga kontrak RM12.5 Billion)!

Ada asas juga dakwaan ini memandangkan semasa rundingan harga ke-2 iaitu tahun 2008, harga bahan mentah seperti besi, crusher-run (batu granit), konkrit (untuk pembinaan jambatan) dan bahan api (disel dan petrol) ditawarkan pada harga yang tinggi. Misalnya besi pada ketika itu mencecah sehingga RM 4,500.00 per tan.

Tetapi pada tahun ini, kebanyakan harga bahan mentah itu telah turun contohnya besi kini boleh dibeli pada harga RM2,500 - 2,800.00 per tan.  Adakah harga kontrak projek ini disemak semula dan variation of price (VoP) dikenakan kepada kontraktor? Hal ini perlu mendapat jawapan yang telus daripada Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan kerana ia melibatkan dana awam yang besar!

Mengikut perjanjian kontrak yang biasa (typical), kontraktor hanya layak dibayar 4 kali bayaran interim (kemajuan bulanan) sekiranya dokumen kontrak belum ditandatangani dan dijilid. Selepas itu, bayaran interim tidak boleh dibuat. Walaubagaimanapun, dalam keadaan itu pihak kontraktor boleh menuntut bayaran faedah daripada kerajaan atas sebab terpaksa menanggung pinjaman bank yang mempunyai kadar faedah tertentu.

Untuk projek ini saya agak kecewa kerana atas kelemahan pihak kerajaan (Kementerian Pengangkutan), pihak kerajaan telah membayar bunga selama 2 bulan kepada Gamuda-MMC ini. Kerja di tapak bermula pada 8 Januari 2009 dan dokumen hanya siap pada 25 Julai 2009. Maka untuk interim bulan Jun dan Julai, surcaj telah dikenakan kepada kerajaan. Bayangkan jika surcaj yang dikenakan itu lebih RM30 juta setiap bulan. 2 bulan hampir RM 60 juta diberi secara percuma kepada kontraktor atas kelalaian pihak kementerian.

Sudahlah pada pembatalan pertama, pampasan khas dibayar kepada pihak kontraktor yang sama  dan selepas itu harga kontrak dinaikkan lebih RM 4.5 billion. Diberi pula RM 60 juta secara percuma, projek ini sangat - sangat membazirkan duit rakyat! Kononnya pembinaannya akan membawa ekonomi hiliran sebanyak RM 15 billion (Berita Harian 13/3/2009), tetapi isunya disini sejauh mana kesahihan dakwaan ini masih belum terbukti. Apa yang terbukti sekarang dana awam dibazirkan sebegitu sahaja!

Sudahlah dimomokkan dengan skandal PKFZ, ini ditambah pula dengan isu pembelian DMU, isu pembinaan PLEB dan mungkin selepas ini isu pembinaan LRT pula, Kementerian ini tidak pernah sunyi daripada isu kontroversi.

Apa yang perlu dibuat sekarang adalah dengan memperkasakan sistem pengurusan perkhidmatan awam ini. Saya sering menggunakan perkhidmatan awam komuter antara pejabat dan rumah, mutu perkhidmatan masih lemah. Selalu sahaja jadual tren komuter tidak tepat kerana pembatalan demi pembatalan tren. Jadi kapasiti pengguna bertambah mengikut jam tetapi tren yang sampai tidak dapat menampung, hasilnya banyaklah maki hamun dan ketegangan timbul di antara pengguna tren ini ekoran masalah lapuk yang tidak pernah selesai!

Moga dengan terlantiknya bekas boss saya iaitu Dato' Seri Ir. Md Zin Mohamad sebagai boss KTMB yang baru membawa wajah yang lebih segar dan dinamik kepada perkhidmatan keretapi ini. Tidak perlu ada instrument dan fasiliti yang canggih tetapi bila ada modal insan yang berkualiti, walaupun hanya dibekalkan 2 buah tren sahaja, masalah akan dapat diselesaikan. Jangan bergantung kepada material yang kita perolehi tetapi kepada minda yang dianugerahi!

Tiada ulasan: